Menyilang seni di sekolah


Daniyal Kadir

SEBELUM ini kita telah membincangkan bagaimana filem boleh dijadikan sebagai kegiatan kokurikulum di sekolah untuk memupuk sikap penghargaan terhadap filem dalam kalangan generasi muda.

Diakui bahawa dalam ekosistem pendidikan dan kurikulum, filem masih belum mendapat tempat sewajarnya dari peringkat bawah. Filem hanya menjadi bidang pengajian di peringkat pengajian tinggi sahaja.

Kita belum tiba pada peringkat menjadikan filem sebagai sebahagian daripada mata pelajaran di sekolah.

Sudah tentu apabila membincangkan usaha menjadikan filem sebagai mata pelajaran di sekolah, kita akan dibawa kepada perbincangan mengenai beban tugas guru dan aspek kewangan yang harus difikirkan.

Cabaran ini harus diakui wujud, namun kita tidak sewajarnya berhenti dan tidak melakukan apa-apa.

Setiap cabaran ini wajar diperhalusi dan dinilai untuk mendapatkan kaedah terbaik bagi mengatasinya.

Jika diperhatikan ekosistem kurikulum di sekolah kini, pada peringkat sekolah rendah dan menengah telah diwujudkan mata pelajaran Seni Visual.

Pendedahan pada peringkat seni visual ini merupakan permulaan terbaik untuk memperkenalkan anak-anak dengan filem.

Sesungguhnya hubungan seni visual dan filem itu cukup rapat, malah filem itu sendiri dilihat sebagai kemuncak kepada semua bentuk kesenian lain termasuk sastera, teater dan muzik.

Filem kebiasaannya menggabungkan beberapa atau semua bidang kesenian ini, untuk itu, kita telah meletakkan asas terbaik dalam memperkenalkan filem melalui Seni Visual.

Namun, agak sedikit kering apabila seni visual yang diajar anak-anak di sekolah sering mengabaikan aspek perkembangan dan falsafah seni itu sendiri.

Ini menyebabkan kita membentuk kelompok anak-anak yang kurang deria terhadap seni, kerana ia diajar sebagai satu mata pelajaran semata-mata dan tidak mengaitkannya dengan keperluan kehidupan.

Di peringkat sekolah menengah, mata pelajaran Kesusasteraan Melayu misalnya mempunyai perkaitan rapat dengan filem dan pemahaman aspek adaptasi mampu menjadikan mata pelajaran ini sebagai tunjang dalam memahami penceritaan dalam filem.

Walaupun filem tidak menjadi satu subjek khusus di sekolah, filem boleh digunakan sebagai medium untuk mendedahkan anak-anak ini tentang sejarah dan fasafah mata pelajaran yang mereka ikuti seperti Seni Visual dan Kesusasteraan Melayu.

Misalnya perbincangan atau tugasan khusus dalam mata pelajaran Seni Visual boleh diadakan dengan memberi pendedahan kepada anak-anak menonton filem Dreams arahan Akira Kurosawa.

Ia secara langsung meningkatkan kualiti mata pelajaran berkenaa dengan melaksanakan pengajaran dalam bentuk silang bidang.

Amat menarik jika pendekatan seperti ini dapat dilaksanakan. Ia memberikan pengertian lebih menarik kepada anak-anak untuk mereka lebih mendalami ilmu Seni Visual.

Keadaan ini membuatkan anak-anak di sekolah akan memiliki asas kuat dalam memahami seni dan melihat bagaimana setiap cabang seni mempunyai sifat bergantung dan meminjam di antara satu sama lain.

Begitu juga dalam mata pelajaran Kesusateraan Melayu, kita memiliki banyak filem-filem klasik Melayu berkualiti yang diadaptasi daripada teks-teks sastera berkualiti.

Misalnya Dang Anom, Hang Tuah, Hang Jebat dan Sultan Mahmud Mangkat Dijulang.

Perbincangan mengenai mata pelajaran berkenaan akan menjadi lebih menarik jika budaya penontonan filem diserapkan lebih awal.

Discourse seperti ini jarang berlangsung di sekolah dan kita tidak mengetahui sebabnya.

Membuka minda anak-anak terhadap seni wajar bermula dari peringkat awal. Kita tidak mahu mereka melihat bidang-bidang seni yang diajar di sekolah hanya sebagai sebahagian daripada keperluan kurikulum sahaja.

Kita mahu apabila mereka tamat sekolah, mereka mempunyai kecelikan yang hebat terhadap seni.

Amat malang buat kita, apabila mempunyai pelbagai mata pelajaran tentang seni, tetapi kita masih gagal membentuk penonton filem yang berkualiti atau sekurang-kurangnya individu yang memiliki pemahaman dan pengetahuan tentang seni.

Pengisian mata pelajaran berkaitan seni di sekolah memerlukan perubahan besar, ia tidak wajar sekadar memberi kotak warna dan berus kepada anak-anak, tetapi ia harus melangkaui hal itu.

Anak-anak amat dahagakan pengetahuan tentang falsafah dan pemikiran.

Jelas sekali pendekatan di sekolah wajar diubah dan seni tidak wajar dilihat sebagai sesuatu untuk mengisi masa lapang dan mata pelajaran tidak penting, tetapi ia harus diberikan taraf sebagai mata pelajaran utama yang mengisi jiwa dan pemikiran anak-anak kita. – 30 November, 2019.

* Daniyal Kadir ialah penulis buku Membedah P.Ramlee, Ahli Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur dan Anggota Sidang Komuniti Filem Titiwangsa.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen