Keputusan Mahkamah Tinggi langkah berani badan kehakiman, kata Suaram


Pengarah Eksekutif Suaram Sevan Doraisamy berkata keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini satu langkah berani yang diambil oleh badan kehakiman. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 November, 2019.

SUARAM menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan permohonan ikat jamin Adun Gadek G Saminathan yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Akta Langkah Khas) 2012 (Sosma) atas tuduhan terlibat dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE). 

Keputusan tersebut adalah langkah berani yang diambil oleh badan kehakiman, kata pertubuhan hak asasi itu.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang membenarkan permohonan itu berkata larangan ikat jamin di bawah Seksyen 13 Sosma melanggar pemisahan kuasa antara tiga cabang kerajaan iaitu badan kehakiman, badan perundangan dan eksekutif.

Menurut Suaram, keputusan mahkamah itu merupakan titik perubahan bukan sahaja kepada 12 individu yang ditahan di bawah Sosma disyaki terlibat dengan LTTE tetapi juga kepada tahanan lain yang ditahan tanpa perbicaraan di bawah Sosma, Akta Pencegahan Jenayah 1959, Akta Pencegahan Keganasan 2015 (Pota) dan  Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.

“Perakuan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa Seksyen 13 Sosma melanggar doktrin pemisahan kuasa antara badan kehakiman, badan perundangan dan eksekutif adalah batu loncatan daripada trend lama di mana badan kehakiman enggan memperakui kelemahan kuasa kehakiman dalam situasi di mana seseorang ditahan tanpa perbicaraan,” kata Pengarah Eksekutif Suaram Sevan Doraisamy.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali pagi tadi juga memutuskan peruntukan dalam Sosma bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan kerana menafikan hak mahkamah untuk menentukan ikat jamin kepada tertuduh.

Jelas Sevan, keputusan mahkamah itu menegaskan rayuan peguam dan persatuan sivil yang menentang penahanan tanpa perbicaraan sejak era Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960.

“Keputusan mahkamah mewajarkan penentangan terhadap penahanan tanpa perbicaraan dan menjadi titik peralihan bagi Malaysia kepada sistem kehakiman jenayah di mana kebebasan asasi dihormati.”

Sevan juga berkata pihak berkuasa kini perlu memperakui bahawa menafikan perbicaraan yang adil adalah tidak berperlembagaan.  – 29 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen