Adun Gadek ditahan Sosma dibenarkan ikat jamin


Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang membenarkan permohonan ikat jamin itu berkata larangan ikat jamin di bawah Seksyen 13 akta berkenaan melanggar pemisahan kuasa antara tiga cabang kerajaan iaitu badan kehakiman, badan perundangan dan eksekutif. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 November, 2019.

ADUN Gadek G Saminathan yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Akta Langkah Khas) 2012 (Sosma) atas tuduhan terlibat dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) hari ini dibenarkan ikat jamin oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, lapor media.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang membenarkan permohonan ikat jamin itu berkata larangan ikat jamin di bawah Seksyen 13 akta berkenaan melanggar pemisahan kuasa antara tiga cabang kerajaan iaitu badan kehakiman, badan perundangan dan eksekutif.

Nazlan juga memutuskan peruntukan dalam Sosma bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan kerana menafikan hak mahkamah untuk menentukan ikat jamin kepada tertuduh.

Saminathan, 34, yang berdepan tuduhan menyokong dan memiliki barangan berkaitan LTTE sebelum ini ditahan reman di Penjara Sungai Buloh mengikut Sosma.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa lalu mendengar hujah permohonan ikat jamin oleh peguamnya Ramkarpal Singh dalam prosiding yang berlangsung lebih 4 jam.

Pada 1 November lepas, Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob telah memutuskan bahawa terdapat merit dalam permohonan pembelaan mengikut Seksyen 13(2) Sosma bagi merujuk isu perlembagaan berhubung jaminan ke Mahkamah Tinggi.

Mahkamah itu telah membenarkan permohonan Saminathan dan 11 lelaki termasuk Adun Seremban Jaya P Gunasekaran untuk merujuk isu perlembagaan berhubung jaminan ke Mahkamah Tinggi.

Kesemua mereka didakwa di Mahkamah Sesyen berasingan pada 29 dan 31 Oktober lepas atas pertuduhan berkaitan kumpulan pengganas LTTE.

Sementara itu, kumpulan pendesak anti Sosma menyambut baik keputusan mahkamah hari ini.

Pengerusi  Desak Sampai Mansuh (Keluarga Tahanan Sosma), Mahathir Abdul Rahman berkata hak sama harus diberikan kepada semua tahanan, bukan sahaja wakil rakyat, tetapi mana-mana individu “yang ditahan secara jahat, zalim dan memfitnah.”

Katanya, setakat ini beluam ada mana-mana tahanan yang didakwa pengganas Daesh diberikan ikat jamin.

“Moga kes Yang Berhormat Adun Gadek menjadi panduan pada masa akan datang,” katanya.

Mahathir juga berharap kerajaan segera memansuhkan akta drakonian seperti Sosma.

“Tuntutan perbicaraan yang adil dan saksama kepada tahanan-tahanan Sosma yang lain juga (akan) terus digemakan,” katanya. – 29 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen