Menteri umum projek 'kereta terbang' tanpa pengetahuan Kabinet, kata PAC


Ravin Palanisamy

Laporan PAC mempersoalkan kenyataan Menteri Pembangunan Usahawan Mohd Redzuan Md Yusof bahawa projek itu adalah inisiatif swasta. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 November, 2019.

PENGUMUMAN Menteri Pembangunan Usahawan Mohd Redzuan Md Yusof mengenai projek “kereta terbang” dibuat tanpa pengetahuan Kabinet, menurut laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

“Pengumuman dibuat terlalu awal dan tanpa memaklumkan kepada Kabinet,” kata PAC dalam laporan yang dikeluarkan hari ini.

PAC juga berkata tiada peruntukan undang-undang dan peraturan mengenai penggunaan kereta terbang di Malaysia.

Jawatankuasa itu turut mendapati projek tersebut tidak pernah dibincangkan dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri (MITI) dan Kumpulan Industri-Kerajaan Bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT).

Laporan PAC mempersoalkan kenyataan Redzuan bahawa projek itu adalah inisiatif swasta.

“PAC mendapati MIGHT melalui VentureTech Sdn Bhd (VTSB) meluluskan pelaburan sebanyak RM20 juta kepada Aerodyne Ventures Sdn Bhd (AVSB).

“Kementerian Hal Ehwal Ekonomi mengesahkan wang tersebut disalurkan dari VentureTech kepada Aerodyne pada 1 November 2019,” kata laporan PAC.

PAC menyarankan beberapa tindakan berkenaan isu tersebut termasuk kerajaan membuat kajian dan perancangan teliti sebelum menghebahkan sesuatu projek supaya ia tidak memberi persepsi negatif. – 28 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen