Demi sekolah Cina, Yap Pian Hon tak kesal ditahan Ops Lalang


Bede Hong

Bekas Naib Presiden MCA, Yap Pian Hon percaya sekiranya beliau dan ahli-ahli politik lain serta aktivis sosial tidak bertegas pada masa itu membantah campur tangan kerajaan dalam pendidikan sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC), sekolah rendah aliran Mandarin itu mungkin tidak lagi wujud hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 26 Oktober, 2017.

TANGGAL 27 Oktober ini genap 30 tahun Operasi Lalang. Pada tarikh itu tiga dekad yang lalu 106 orang ditahan tanpa bicara manakala lesen penerbitan tiga buah akhbar ditarik balik. Episod itu kekal jadi peringatan tentang apa yang boleh berlaku sekiranya tidak ada sistem semak dan imbang. Episod itu meninggalkan parut yang dalam pada jiwa Malaysia. Sebagai mengenang hari itu, The Malaysian Insight menemu bual mereka yang terlibat — tahanan dan ahli keluarga, warden pusat tahanan dan polis.

JADI tahanan Operasi Lalang bagi bekas Naib Presiden MCA, Yap Pian Hon, 73, adalah satu penghormatan.

Veteran MCA itu percaya sekiranya beliau dan ahli-ahli politik lain serta aktivis sosial tidak bertegas pada masa itu membantah campur tangan kerajaan dalam pendidikan sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC), sekolah rendah aliran Mandarin itu mungkin tidak lagi wujud hari ini.

Yap, bekas ketua Pemuda MCA dan exco Kerajaan Negeri Selangor, ditahan tanpa bicara selama 50 hari kerana menentang langkah kerajaan pada masa itu melantik guru-guru bukan aliran Cina sebagai guru besar dan penyelia di SJKC.

Yap adalah antara 106 ahli politik, aktivis dan ahli akademik yang ditahan oleh polis pada 27 Oktober 1987 dalam penangkapan besar-besaran yang diberi nama Operasi Lalang.

“Saya diletakkan dalam sebuah bilik kecil yang suram tanpa tingkap. Hanya ada pangkin simen,” kata bekas naib presiden MCA tiga penggal antara 1990 hingga 1999 itu.

“Setiap hari saya cakar tanda pada dinding dengan kuku untuk tahu berapa hari saya sudah ditahan. Saya cuba bersenam dan berlari-lari dalam bilik kecil itu untuk menenangkan diri,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Menurut Yap, beliau menggunakan kedudukannya sebagai ketua Pemuda MCA untuk menentang langkah kerajaan menempatkan guru-guru bukan dari aliran Mandarin untuk menjawat jawatan tinggi di SJKC.

“Sekiranya kita benarkan itu berlaku, sekolah rendah dalam aliran Cina hari ini tidak akan wujud lagi. Itu hak saya di bawah Perlembagaan untuk menyuarakan rasa tidak puas hati. Saya tidak menyesal atas apa yang saya buat.”

“Macam mana boleh hantar orang yang tidak tahu Mandarin untuk pegang jawatan kanan di sebuah sekolah Cina. Apa maknanya apabila kerajaan buat begitu? Mereka hendak tukar pendidikan Cina lah, tak begitu?” tanya Yap.

Beliau masih ingat soal siasat dengan pegawai polis dari Cawangan Khas beberapa hari selepas ditahan. Soal siasat itu berjalan dari 9 pagi sampai 6 petang.

“Mereka tuduh saya ada hubungan dengan Parti Komunis China dan tanya siapa dalang di sebalik bantahan saya. Saya berulang-ulang kali kata ini tindakan saya sendiri.”

Yap memulakan karier politiknya dengan menyertai DAP pada 1969. Usianya ketika itu 26 tahun. Beliau kemudian menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Serdang pada tahun yang sama.

Namun Yap keluar DAP pada 1974 kerana perselisihan faham dengan kepimpinan parti. Beliau menyertai MCA. Pada pilihan raya tahun yang sama, beliau mengalahkan Lee Lam Thye dan menang di kerusi DUN Serdang.

Beliau kalah Pilihan Raya Umum 1978 kepada Lee tetapi kemudian menang pilihan raya umum berikutnya dan jadi jadi wakil rakyat Serdang selama tiga penggal antara 1982 hingga 1990.

Apabila Serdang jadi kerusi Parlimen, Yap menang lagi untuk tiga penggal sehinggalah beliau bersara dan mengosongkan kerusinya menjelang Pilihan Raya Umum 2008.

Pada 2013, MCA memanggilnya semula dan meletakkannya sebagai calon untuk kawasan Parlimen Serdang. Beliau kalah kepada Ong Kian Ming dari DAP.

Berikut petikan wawancara Yap Pian Hon (YPH) bersama The Malaysian Insight:

TMI: Apa jadi semasa ditahan?

YPH:  Saya ditahan selama 50 hari. Saya masih ingat selepas rapat umum pada 27 Oktober, saya pergi ke ibu pejabat MCA untuk berjumpa dengan kawan-kawan dan ada sedikit perbincangan. Lebih kurang pukul 11 malam, saya sampai ke rumah dan nampak ada banyak orang yang tidak dikenali di kopitiam dekat dengan rumah saya.

Saya beritahu isteri yang saya mungkin akan kena tangkap. Lebih kurang pukul 1 pagi, ada orang ketuk pintu, pegawai Cawangan Khas dari Kajang. Dia beritahu yang saya ditangkap di bawah Seksyen 73(1) ISA. Mereka bawa saya ke balai polis Sentul. Selepas itu mata saya ditutup dan mereka bawa saya ke tempat yang saya tidak tahu.

Saya tidak bencikan Dr Mahathir. Tetapi apa yang berlaku itu salah. Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim harus minta maaf kepada semua yang telah ditahan di bawah ISA, kata veteran MCA Yap Pian Hon. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 26 Oktober, 2017.

TMI: Menoleh balik 30 tahun lalu, apa rasanya pengalaman itu?

YPH: Sangat payah. Ditahan sendirian. Dalam bilik kecil. Apabila kita duduk dalam sebuah bilik yang kecil, tidak boleh keluar dan tidak ada kebebasan langsung, apa rasanya? Sangat-sangat terasing. Dari segi psikologi, kami sangat terkesan.

Kita tidak tahu apa yang akan datang. Tidak boleh baca apa-apa, tiada aktiviti. Tak ada apa-apa. Semuanya gelap. Kita mesti kuatkan minda untuk hadapi semua itu.

TMI: Apa saudara fikir tentang Dr Mahathir Mohamad hari ini?

YPH: Selepas bebas, saya baca semua keratan akhbar tentang apa yang dikatakan oleh Ketua Polis Negara (KPN), Haniff Omar pada masa itu. Polis kata keadaan sangat tegang. Mereka kata satu-satunya cara untuk kawal keadaan ialah dengan menggunakan ISA.

Tetapi sebelum mereka tangkap, KPN kata beliau jumpa dengan PM (Perdana Menteri). Maknanya, Dr Mahathir setuju. Apabila KPN cadangkan perkara itu kepadanya, beliau (Dr Mahathir) boleh kata tidak. Tetapi beliau setuju, maka operasi itu pun dijalankan.

Dr Mahathir dijangka hadir pada satu forum (sempena 30 tahun Operasi Lalang). Saya hendak tengok macam mana reaksi beliau. Pada April 2007, semasa Pilihan Raya Kecil Ijok, Anwar (Ibrahim) secara terbuka mengaku bahawa dasar yang dilaksanakan di sekolah Cina pada masa itu salah. Beliau mengaku tetapi beliau tidak minta maaf. Jadi saya rasa semua yang pernah ditahan perlu minta Anwar atau (Dr) Mahathir minta maaf.

TMI: Jadi saudara mahu Dr Mahathir minta maaf?

YPH: Ya, ya, ya. Beliau setuju dengannya (Operasi Lalang). Kalau tidak macam mana polis boleh bertindak? Mereka tidak boleh ambil tindakan tanpa kerajaan bersetuju. Oleh BN (Barisan Nasional). KPN beri taklimat. Saya tidak bencikan Dr Mahathir. Tetapi apa yang berlaku itu salah. (Dr) Mahathir dan Anwar harus minta maaf kepada semua yang telah ditahan di bawah ISA.

TMI: Adakah kita belajar apa-apa daripada Ops Lalang?

YPH: Tidak, saya tidak fikir kita belajar apa-apa daripada Ops Lalang. Itulah sebabnya kenapa hari ini kita lihat ada ahli politik yang masih cuba memainkan isu kaum dan agama hanya untuk mencapai cita-cita peribadi. Ini membahayakan masyarakat kita. – 26 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Ini pemimpin pemuda mca yg lampau bukan pemimpin pemuda mca mcm skrg

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan