Hadi yang minta calon MCA di Tg Piai, kata Zahid


Diyana Ibrahim

Presiden Umno Abdul Hadi Awang mendedahkan keputusan meletakkan calon MCA dibuat kerana permintaan PAS. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 24 November, 2019.

KEPUTUSAN meletakkan calon MCA yang menyebabkan Barisan Nasional menang besar di Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai adalah kerana permintaan PAS, kata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Dedahnya, permintaan itu dibuat Presiden PAS Abdul Hadi Awang kepadanya sebaik saja pengumuman kekosongan kerusi tersebut.

“Apabila berlaku kekosongan kerusi Tanjung Piai, Hadi orang pertama bisik pada saya  cadang calon yang bertanding BN biar datang daripada MCA,” katanya dalam ceramah Mega Muafakat Nasional Peringkat Negeri Selangor, di Shah Alam, malam tadi.

Zahid berkata permintaan PAS itu sekaligus menepis tuduhan ekstrem dan menolak kaum lain yang dilemparkan kepada parti Islam itu.

“Jika PAS dikatakan terlalu ekstrem dan berfikiran sempit, tentu apa yang saya lontarkan tadi adalah keterbukaan presiden PAS sendiri yang tidak melihat Muafakat Nasional dalam skop sempit, sebaliknya beliau lihat skop yang lebih jauh.

“Dan jika Permuafakatan Nasional di konotasi warna kebencian, seolah kita ini Taliban dan ketepi(kan) bangsa dan agama lain, namun terbukti pandangan presiden PAS ini satu keterbukaan yang harus dihargai semua kaum,” katanya di depan hampir 600 penyokong PAS dan Umno dalam program tersebut.

Beliau berkata sama seperti PAS, Umno juga dilemparkan dengan pelbagai tuduhan biarpun cadangan meletakkan MCA juga datang daripada parti itu.

Tambahnya, keputusan untuk meletakkan calon dari MCA membuktikan Umno tidak berpandangan sempit terutama berhubung kerusi yang diagihkan kepada rakan komponen BN selepas bekerjasama dengan PAS.

“Saya imbau pandangan Pengerusi Jemaah Penasihat Umno Tengku Razaleigh Hamzah  untuk jaga Muafakat Nasional pertimbangan harus diberikan kepada MCA. Bukan kerana 42% terdiri kaum Cina tapi untuk lihat Muafakat Nasional dengan lebih jauh.

“Bukan setakat itu Pengerusi Lembaga Penasihat BN Najib Razak telah melontar pandangan sama biarpun kepimpinan tempatan dan negeri mahu mengikut unjuran atas kertas pengundi Tanjung Piai 57 % merupakan Melayu dan seharusnya calon dari Umno,” katanya.

PRK Tanjung Piai menyaksikan BN yang mempertaruhkan calon MCA Wee Jeck Seng menang besar dengan perbezaan lebih 15,000 undi.

PRK itu adalah yang pertama diadakan selepas kerjasama politik Umno dan PAS dibentuk secara rasmi.

PAS dan Umno sebelum ini sudah bekerjasama dalam beberapa PRK bermula dengan PRK Sg Kandis sebelum memeterai Muafakat Nasional pada 14 September lalu.

Hadi berkata piagam tersebut sebagai persediaan kerjasama dua parti itu untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 .

Zahid juga yakin formula kemenangan PRK Tanjung Piai akan dapat membawa kejayaan lebib besar kepada BN dan PAS dalam PRU15.

Tambahnya lagi, kerjasama dua parti Melayu Islam terbesar negara itu tidak mustahil dapat kembali menakluk Putrajaya tetapi juga merampas Selangor pada PRU15 nanti. – 24 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen