Sekolah patut ada kelab seni filem


Daniyal Kadir

SERING dibincangkan soal apresiasi sinema di Malaysia wajar dipupuk sejak dari usia muda lagi, lebih spesifik kita kanak-kanak dan di bangku persekolahan.

Kita selalu mengimpikan untuk mempunyai kelompok penonton yang celik sinema dan mampu memberikan pengertian lebih menarik terhadap pembangunan sinema di negara kita.

Sudah tiba masanya selain daripada melatih pembikin filem, kita juga harus membina keupayaan untuk melatih penonton filem, bagi memastikan setiap karya yang terhasil mempunyai kelompok penonton terdidik yang mampu memberikan penilaian jujur terhadap sesebuah karya.

Letih juga kita melihat segelintir penonton kita terlalu mudah ditolak arus komersial dan tidak mampu ‘membaca’ sesebuah karya pada lunas-lunas perfileman yang ada.

Membina khalayak yang celik filem bukanlah satu usaha yang mudah. Ia memerlukan perancangan rapi dan pelaksanaan jitu melalui komitmen pelbagai pihak.

Satu elemen terpenting yang sering dibangkitkan apabila kita membincangkan soal membangunkan penonton filem ialah pendidikan.

Aspek pendidikan sebenarnya merupakan asas untuk memberi pendedahan awal kepada masyarakat untuk menjadi penonton filem yang celik.

Sebenarnya ia bukan semata-mata soal pendidikan formal, seperti mewujudkan subjek khusus mengenai perfileman, tetapi menggunakan pendekatan-pendekatan yang lebih baik dan memudahkan.

Kelab Seni Filem merupakan satu usaha yang tidak wajar ditangguhkan lagi, filem wajar dijadikan kegiatan kokurikulum utama di sekolah. Kelab ini dahulunya pernah wujud melalui kerjasama bersama-sama Finas di beberapa sekolah di seluruh negara, namun kewujudannya hanya bersifat sementara kerana tiada pemantauan berkesan terhadap setiap aktiviti yang dijalankan.

Sebelum menubuhkan Kelab Seni Filem ini, Finas bersama Kementerian Pendidikan wajar membangunkan apa yang dipanggil sebagai kit permulaan untuk kelab ini kelak.

Melalui kit permulaan ini, setiap kelab akan dibekalkan dengan bahan tontonan dan peralatan berkaitan, misalnya skrin, projektor, laptop dan bahan tayangan.

Bahan tayangan ini menjadi satu perkara yang sangat penting dan harus dijadikan keutamaan kerana ia bakal menjadi permulaan sempurna untuk anak-anak kita mengerti tentang sinema.

Penyediaan bahan tayangan ini tidak boleh dibuat secara sesuka hati, namun harus melibatkan bahan-bahan tayangan yang signifikan terhadap pembangunan sinema.

Ia wajar memberikan pendedahan tentang aspek-aspek utama seni filem, termasuk estetika.

Untuk menyaring dan membantu menyediakan bahan-bahan tayangan untuk edaran ke sekolah-sekolah ini, pembikin filem tanah air yang dikenali mempunyai cita rasa dan pemahaman besar tentang perkembangan sinema harus dilibatkan.

Melalui bahan tayangan yang berkualiti, kita mampu mendedahkan budaya penontonan hebat kepada anak-anak ini.

Apabila dari usia awal lagi mereka sudah menonton filem-filem berkualiti, sudah tentu apabila mereka membesar dan dewasa, mereka akan menjadi lebih selektif dan kritikal terhadap setiap filem yang ditonton dan tidak mudah dipermain-mainkan komersialisme.

Kelab Seni Filem di sekolah boleh memanfaatkan waktu kegiatan kokurikulum yang biasanya dilaksanakan pada hari Rabu untuk menggerakkan aktiviti-aktiviti berkaitan.

Sudah tentu ia tidak terhad kepada tayangan filem semata-mata, tetapi boleh melangkaui pelbagai aspek yang berkaitan, termasuk menulis ulasan dan kritikan filem.

Ya! Misalnya pada hari itu, kita menayangkan sebuah filem Melayu seperti Dang Anom dan selesai tayangan kita memperuntukkan masa untuk anak-anak ini menulis pengalaman mereka menonton filem berkenaan.

Melalui usaha seperti ini, kita sudah berjaya membangunkan kepekaan menonton dalam kalangan anak-anak. Ia mampu memberikan mereka pemahaman bahawa menonton wayang bukan sekadar di dalam panggung, tetapi ia harus dibawa ke luar panggung untuk dibicarakan secara lebih panjang.

Melalui usaha ini, kita secara tidak langsung telah mengajar anak-anak tentang cara-cara menghargai filem dan membuatkan mereka faham bahawa karya akan terus relevan jika melalui polemik sepanjang waktu.

Namun segala usaha untuk menubuhkan Kelab Seni Filem ini tidak akan berjaya tanpa penggerak yang juga mempunyai minat dan kecenderungan tinggi terhadap sinema.

Di sini kita bercakap tentang guru.

Setiap kegiatan kokurikulum di sekolah mempunyai guru sebagai penggeraknya. Tanpa guru sesuatu aktiviti kokurikulum itu tidak akan berjaya.

Untuk itu, setiap Kelab Seni Filem yang wujud di sekolah-sekolah harus dikendalikan oleh seorang guru yang benar-benar berminat dengan filem.

Tidak wajar untuk kelab ini ditubuhkan semata-mata untuk memenuhi arahan kementerian sahaja, ia amat perlu untuk ditubuhkan melalui minat dan kemahuan memartabatkan sinema dalam jiwa anak-anak.

Bagi memastikan kita dapat menyediakan guru-guru yang berminat terhadap sinema, Kementerian Pendidikan sekali lagi dengan kerjasama Finas wajar membangunkan modul kokurikulum berkaitan Kelab Seni Filem semata latihan guru di Institut Pendidikan Guru dan universiti awam di seluruh negara.

Pendedahan awal kepada guru-guru ini amat penting bagi memastikan mereka sudah ditanam dengan minat mendalam terhadap sinema dan apabila mereka ditempatkan di sekolah-sekolah, mereka sudah boleh menggerakkan aktiviti Kelab Seni Filem dengan lebih giat dan menyeluruh.

Guru yang cenderung kepada sinema dan memiliki pemahaman terhadap aspek-aspek penting terhadap sinema merupakan tunjang kepada kejayaan Kelab Seni Filem yang dicadangkan.

Melalui penubuhan Kelab Seni Filem, kita mampu meluaskan kefahaman sinema secara lebih mendalam kepada anak-anak dan ini memastikan pada masa hadapan kita mempunyai kelompok penonton yang lebih baik dan berkualiti.

Melalui penonton seperti ini, akhirnya ia bakal menjadi faktor yang mendesak untuk pembikin filem di negara kita membikin sesuatu yang lebih bermakna dan bernilai.

Kelab Seni Filem ialah langkah awal untuk semuanya. Ia tidak memerlukan modal yang besar, memandangkan setiap sekolah kini sudah dilengkapi peralatan tayangan, malah ada sekolah yang mempunyai bilik tayangan sendiri.

Apa yang diperlukan hanya menentukan bahan tayangan berprestij, menutup lampu dan menyalakan layar untuk mencelikkan anak-anak kita dengan makna sinema sebenar. – 23 November, 2019.

* Daniyal Kadir ialah penulis buku Membedah P.Ramlee, Ahli Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur dan Anggota Sidang Komuniti Filem Titiwangsa.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen