Kenaikan harga barang bukan sebab GST, kata timbalan menteri


Yasmin Ramlan

Timbalan Menteri Kewangan Othman Aziz mempertahankan cukai kontroversi yang dilaksakan pada 1 April 2015 dengan kadar 6% itu, dengan berkata kerajaan turut menyediakan bantuan kewangan lain kepada rakyat seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) untuk meringankan beban mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Oktober, 2017.

KENAIKAN harga barang bukan disebabkan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) tetapi atas faktor-faktor lain, kata Timbalan Menteri Kewangan Othman Aziz.

Menyedari kenaikan harga barangan itu, Othman yang juga Ahli Parlimen Jerlun (BN) mempertahankan cukai kontroversi yang dilaksanakan pada 1 April 2015 dengan kadar 6% itu, dengan berkata kerajaan turut menyediakan bantuan kewangan lain kepada rakyat seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) untuk meringankan beban mereka.

“Kita tak boleh kata GST saja (penyebab) maka harga barang naik. Kita kena ingat bahawa input barang-barang atau kos terhadap barangan itu bukan saja atas cukai, ia juga melibatkan berkaitan dengan pertukaran mata wang, kos minyak turun naik, kos input tambahan.

“Kita di peringkat kementerian (KPDNKK) sedang memantau kenaikan harga barang dan kita menyedari bahawa walaupun ada naik, pada masa sama (kerajaan) BN (Barisan Nasional) yang bertanggungjawab untuk memberi compensation sedikit direct, indirect seperti bantuan BR1M, bantuan-bantuan kepada pekebun kecil, bantuan kepada nelayan, petani dan sebagainya.

“Semua ini (bantuan) mengimbangkan kenaikan harga tersebut supaya tak terlalu membebankan mereka. Jadi kenaikan harga barang bukan kerana GST tetapi komponen lain kepada kenaikan tersebut,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Othman berkata demikian menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke (DAP) yang meminta beliau menjelaskan sama ada Kementerian Kewangan ada membuat kajian mengenai harga barang yang turun serta senarai barangan tersebut.

Loke berkata, ini berikutan kenyataan bekas timbalan menteri kewangan ketika itu, Ahmad Maslan yang mengatakan harga barang akan menurun dengan pelaksanaan GST.

Menurut Othman, GST telah dilaksanakan di lebih 160 buah negara dan kadar 6% tersebut merupakan paling rendah di kalangan negara Asean .

Sehingga 30 September 2017, bilangan peniaga yang berdaftar dengan GST adalah sebanyak 454,609.

Jumlah hasil bersih kutipan GST bagi 2015 dan 2016 masing-masing adalah sebanyak RM27.01 bilion dan RM41.21 bilion. Manakala bagi 2017, jumlah hasil bersih kutipan GST bagi tempoh 1 Januari 2017 hingga 30 September 2017 adalah sebanyak RM29.81 bilion.

Minggu lalu, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) berkata GST menjejaskan peniaga-peniaga Melayu sehingga menyebabkan mereka “gulung tikar” dan “tutup kedai”.

Bagaimanapun, semalam, Perdana Menteri Najib Razak pula berkata GST tidak seharusnya dianggap sebagai cukai baharu, sebaliknya sebahagian daripada pembaharuan cukai menyeluruh yang direka bagi menjadikan Malaysia lebih berdaya saing, dapat mengawal ekonomi hitam dan haram, serta mengurangkan pengelakan cukai dan meluaskan asas percukaian negara. – 25 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen