GST jadikan Malaysia lebih berdaya saing, kata Najib


Perdana Menteri Najib Razak berkata GST adalah sebahagian daripada pembaharuan cukai menyeluruh yang direka bagi menjadikan Malaysia lebih berdaya saing, dapat mengawal ekonomi hitam dan haram, serta mengurangkan pengelakan cukai dan meluaskan asas percukaian negara. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 24 Oktober, 2017.

KETIKA harga minyak dunia mengalami kejatuhan pada 2014, Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) merupakan antara beberapa langkah penting bagi mengelakkan negara mengalami kemelesetan, malah ia menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.

Perdana Menteri Najib Razak berkata GST tidak seharusnya dianggap sebagai cukai baharu, sebaliknya sebahagian daripada pembaharuan cukai menyeluruh yang direka bagi menjadikan Malaysia lebih berdaya saing, dapat mengawal ekonomi hitam dan haram, serta mengurangkan pengelakan cukai dan meluaskan asas percukaian negara.

“Ramai mendakwa bahawa GST adalah cukai baharu, dilaksanakan semata-mata untuk meraih lebih banyak pendapatan untuk Kerajaan. Sebenarnya, ia adalah pengganti kepada cukai jualan dan perkhidmatan yang tidak cekap, rumit dan tidak berfungsi dengan baik, sama ada untuk pengguna ataupun perniagaan.

“Seandainya niat kerajaan adalah untuk meningkatan pendapatan, adalah lebih mudah jika kita meningkatkan cukai korporat, cukai pendapatan dan cukai jualan dan perkhidmatan sedia ada,” kata Najib melalui blognya. Tambah beliau, GST telah menjadi fokus utama serangan pembangkang.

Najib juga berkata sejak beliau menjadi Menteri Kewangan pada 2008, kerajaan telah mengurangkan cukai korporat daripada 27% hingga 24%. Kadar cukai pendapatan peribadi juga telah jatuh, daripada 28% pada tahun 2008 kepada 24% sekarang untuk kebanyakan rakyat Malaysia.

“Kita juga menaikkan nilai ambang cukai pendapatan supaya mereka yang pendapatannya adalah RM4,000 atau kurang, tidak lagi perlu membayar sebarang cukai pendapatan. Ini bukan seperti dulu di mana mereka yang mempunyai gaji RM2,000 tetap dikenakan cukai.”

Najib berkata kadar GST Malaysia hanya 6% – jauh lebih rendah daripada negara-negara lain yang tidak berkongsi asas ekonomi yang kukuh seperti Malaysia.

Beliau melahirkan rasa hairan apabila pembangkang mendesak GST dihapuskan sedangkan kebanyakan negara tahu faedah yang diperolehi dari GST.

“Kebanyakan negara – lebih daripada 160 di seluruh dunia – telah melaksanakan GST kerana mereka tahu ia diperlukan untuk menjadikan negara mereka lebih kuat dan lebih berdaya saing. 

“Anehnya, pihak pembangkang mendakwa tidak memahami perkara ini. Mereka mahu memansuhkan GST – tetapi tanpa cadangan bagaimana mereka akan menggantikan RM41 bilion yang dijana oleh GST pada tahun lalu,” katanya.

Pakatan Harapan (PH) sebelum ini berjanji akan menghapuskan GST dalam tempoh 100 hari jika berjaya membentuk kerajaan.

Sementara itu, perdana menteri juga berkata pemberian Skim Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) adalah untuk mengurangkan beban golongan berpendapatan rendah.

“Kita sedar bahawa isu kos sara hidup memberi kesan paling tinggi kepada mereka yang berpendapatan rendah, dan inilah sebabnya kita mengagihkan RM5.36 bilion dalam Bantuan Rakyat 1Malaysia atau BR1M kepada 7.28 juta isi rumah pada tahun 2016 dan juga memperkenalkan gaji minimum.

“Seorang bekas pemimpin baru-baru ini menyifatkan BR1M sebagai penyalahgunaan dana kerajaan – tetapi dia seharusnya cuba nyatakan sebegitu kepada para penerima. Ia sebenarnya amat kejam untuk sesiapa sahaja dalam pembangkang untuk bercakap mengenai menghapuskan satu program yang direka khusus untuk membantu mengurangkan beban berjuta-juta rakyat Malaysia.”

BR1M dan GST masing-masing diperkenalkan pada 2012 dan 2015. – 24 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen