Boleh cadang siapa menteri tapi yang lantik perdana menteri, kata Dr Mahathir


Mohd Farhan Darwis Lee Chi Leong

Sesiapa boleh beri cadangan tetapi perdana menteri yang buat keputusan siapa dalam Kabinet, kata Dr Mahathir Mohamad. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 21 November, 2019.

SESIAPA pun boleh buat cadangan menteri mana yang perlu digugurkan namun keputusan akhir rombakan kabinet dibuat oleh perdana menteri, kata Dr Mahathir Mohamad.

Keputusan perdana menteri itu pula dibuat atas persetujuan bersama dengan parti komponen dalam Pakatan Harapan, katanya.

“Sesiapa sahaja boleh menyatakan pendapat mereka sendiri tetapi saya akan buat keputusan jika ia dipersetujui lima parti gabungan,” kata Dr Mahathir.

Pakatan Harapan dibentuk oleh empat parti – Bersatu, PKR, DAP dan Amanah – serta disokong Parti Warisan Sabah, yang membentuk kerajaan negeri di Sabah.

Dr Mahathir diminta mengulas kenyataan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man yang mencadangkan agar Menteri Kewangan Lim Guan Eng digugurkan dari jemaah menteri.

Tuan Ibrahim berpendapat Lim tidak patut berada dalam jemaah menteri akan datang kerana mendakwa beliau gagal menguruskan kewangan sebaliknya hanya suka menyalahkan kerajaan Barisan Nasional sebelum ini.

Setiausaha agung DAP itu juga, katanya, patut dihukum kerana prestasi buruk PH dalam pilihan raya kecil Tanjung Piai, yang kalah salah satu puncanya kerana DAP.

Semalam Dr Mahathir berkata beliau akan menimbang untuk merombak kabinet susulan kekalahan PH di Tanjung Piai.

Desakan dan cadangan rombakan kabinet itu disampaikan kepada beliau oleh majoriti pimpinan kanan Bersatu dalam mesyuarat parti itu semalam. – 21 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen