Majoriti pemimpin Bersatu mahu Dr Mahathir rombak Kabinet


Chan Kok Leong

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad semalam mengumumkan kemungkinan berlaku rombakan Kabinet selepas kekalahan PH di Tanjung Piai. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 November, 2019.

KEBANYAKAN pemimpin tertinggi Bersatu menyokong rombakan kabinet susulan kekalahan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai, menurut sumber parti.

Mereka melihat rombakan Kabinet sebagai satu cara untuk pakatan itu mendapatkan kembali keyakinan rakyat selepas kekalahan teruknya kepada Barisan Nasional (BN) ketika berdepan kritikan berhubung prestasinya sebagai kerajaan persekutuan sejak 18 bulan lalu.

“Ia merupakan pandangan majoriti,” kata sumber parti yang rapat dengan mesyuarat pimpinan tertinggi Bersatu di Petaling Jaya semalam.

Dr Mahathir mengumumkan kemungkinan rombakan Kabinet semalam selepas mesyuarat berkenaan. 

Calon Bersatu Karmaine Sardini tewas kepada calon BN Wee Jeck Seng pada pilihan raya kecil Sabtu lalu dengan 15,086 undi.

Kemenangan itu lebih bermakna kerana Wee hanya kalah kepada calon Bersatu Dr Farid Md Rafik dengan 524 undi hanya 18 bulan sebelum ini, pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Kekalahan PH kini mencetuskan penolakan kepada dasarnya dan mencetuskan gesaan untuk Dr Mahathir meletakkan jawatan.

Bagaimanapun, menurut sumber parti, Dr Mahathir tidak yakin rombakan Kabinet mampu selesaikan masalah PH.

Perdana menteri membayangkan keengganannya ketika sidang media semalam: “Rombakan Kabinet bukan caranya untuk kembalikan kedudukan kerajaan. Walaupun kita buat rombakan sekarang, ia akan mengambil masa untuk seseoang itu membiasakan diri dengan tugas baharu dan mengambil masa untk menilai prestasi seseorang.

“Mungkin orang baru tidak memberikan prestasi baik dan akan ada lagi permintaan untuk rombakan Kabinet.

“Ini seperti rombakan Kabinet adalah jawapan kepada semua masalah kita. Ia bukan mudah,” kata pengerusi PH.

Satu sebab mengapa Dr Mahathir teragak-agak untuk mermbak kabinet kerana Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada Sidang Kemuncak Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) 2020.

“Banyak perkara yang perlu dilakukan. Masalah besar kita tahun depan adalah kita akan jadi tuan rumah kepada sidang Apec dan kita tak boleh ambil mudah. Ia salah satu daripada persidangan antarabangsa terbesar,” katanya kepada pemberita semalam ketika ditanya bila rombakan Kabinet akan dilakukan.

Pada mesyuarat semalam, pemimpin Bersatu tidak menyatakan tarikh akhir untuk rombakan Kabinet.

Secara umumnya, Dr Mahathir berkata beliau perlu bincangkan perkara itu dengan parti lain dalam PH, dan juga Parti Warisan Sabah.

Cakap-cakap mengenai rombakan kabinet timbul kini dan sejak PH menubuhkan kerajaan persekutuan tahun lalu, namun Dr Mahathir sentiasa menafikannya.

Kecuali Dr Mahathir dan Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin, kesemua 26 ahli Kabinet adalah pertama kali menjadi menteri.

Sejak 18 bulan lalu, PH sering menerima kritikan awam berhubung beberapa isu melibatkan kos sara hidup, pendidikan, tol lebuh raya, bantuan kepada petani
dan nelayan, penangguhan mekanisme subsidi petrol dan pembaharuan undang-undang dan institusinya yang perlahan.

Daripada segi parti, PKR memiliki paling ramai menteri iaitu tujuh, Bersatu dan DAP masing-masing mempunyai enam, Amanah lima, Warisan tiga dan seorang dari Hindraf. – 21 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen