Dana 1MDB selesaikan masalah pemimpin terdahulu, kata Najib


Perdana Menteri Najib Razak berkata dana daripada 1MDB digunakan untuk menyelesaikan isu daripada perjanjian kuasa berat sebelah yang ditandatangani oleh seorang bekas pemimpin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Oktober, 2017.

PERDANA Menteri Najib Razak berkata dana daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) digunakan untuk menyelesaikan isu daripada perjanjian kuasa berat sebelah yang ditandatangani oleh seorang bekas pemimpin.

“Apabila 1MDB memasuki industri itu, ia pembida terendah dalam semua perjanjiannya, dengan itu menjimatkan Malaysia sebanyak RM200 bilion dalam 20 tahun akan datang.

“Malah, satu laporan firma penyelidikan mengenai perjanjian kuasa yang disemak semula ini diberi tajuk ‘Tiada lagi perjanjian pilih kasih’,” katanya dalam entri terbaru di blognya, menambah perolehan daripada cukai barangan dan perkhidmatan (GST) tidak digunakan untuk membayar hutang 1MDB.

Najib berkata 1MDB juga membiayai pembinaan dan penambahbaikan lapan pangkalan tentera yang tidak dapat dilakukan oleh kerajaan pada masa dulu.

Katanya, ia juga membiayai beribu-ribu biasiswa dan perjalanan haji untuk jemaah.

“Memang benar 1MDB mempunyai masalahnya, dan kita mengambil tindakan merombak pengurusan untuk membetulkan kesilapan dan mengembalikannya kepada keadaan kewangan yang sihat,” katanya.

Beliau berkata 1MDB dijangka akan membuat keuntungan yang lebih daripada cukup untuk menanggung kerugiannya apabila perjanjian projek Bandar Malaysia ditandatangani.

“Dan pembohongan bahawa rakyat perlu menanggung akibat daripada keputusan 1MDB akan terkubur. Ini kerana selepas program rasionalisasi selesai, 1MDB berkemungkinan besar akan menjana keuntungan untuk rakyat, dan ini tidak termasuk segala usaha tanggungjawab sosial korporat yang dilaksanakannya selama bertahun-tahun,” katanya.

Edra, subsidiari 1MDB mendapat loji jana kuasa di Malaysia, Mesir, Pakistan, Emiriyah Arab Bersatu dan Bangladesh antara 2012 dan 2013, yang dilaporkan membabitkan kos RM12 bilion.

Selepas tidak menerima maklum balas daripada IPO (tawaran awam permulaan) pada 2015, Edra dijual kepada China General Nuclear Power Corp (CGN Group) pada nilai RM9.83 bilion.

Presiden Bersatu Dr Mahathir Mohamad sebelum ini menyerang Najib berhubung isu 1MDB, mendakwa perdana menteri itu mencuri daripada dana pembangunan.

Gabungan pembangkang juga melakukan jelajah di seluruh negara mengadakan program ceramah bertajuk “Selamatkan Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi” untuk menjelaskan mengenai skandal 1MDB kepada rakyat.

Siri jelajah itu berakhir pada 14 Oktober di Petaling Jaya.

Pada Mei tahun lalu, Kementerian Kewangan melantik tiga ahli lembaga pengarah baharu untuk 1MDB. Namun, Arul Kanda Kandasamy kekal sebagai presiden 1MDB.

Di Singapura, Pihak Berkuasa Kewangan Singapura dan Jabatan Hak Ehwal Komersial menyita beberapa akaun bank kerana kesalahan pengubahan wang haram berkaitan 1MDB. Pada Julai, Singapura menjatuhkan hukuman kepada perunding harta Yeo Jiawei 64 bulan penjara kerana kesalahan pengubahan wang haram berkaitan berbilion dolar yang didakwa diselewengkan daripada 1MDB.

Pada Ogos, Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat memulakan siasatan jenayah terhadap wang yang didakwa dicuri daripada 1MDB, menangguhkan saman sivil yang difailkan dua tahun lalu untuk menyita aset bernilai lebih AS$1 bilion (RM4.28 bilion).

Dalam saman sivilnya, DoJ mendakwa antara 2009 dan 2015, lebih AS$4.5 bilion milik 1MDB diselewengkan oleh pegawai atasan dan sekutunya. – 24 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen