DEWAN Rakyat bertukar kecoh hari ini kerana isu kereta terbang apabila wakil rakyat Barisan Nasional memperlekeh tindakan Menteri Pembangunan Usahawan Mohd Redzuan Yusof yang mempertahankan projek itu.
Redzuan sedang menjawab soalan dikemukakan Ahli Parlimen Sibu Oscar Ling tentang isu berbeza apabila dicelah oleh wakil pembangkang.
Menteri itu akan melakukan ujian kereta terbang esok dan beliau menjemput semua wakil rakyat pembangkang untuk menyaksikan ujian kenderaan itu yang juga dikenali sebagai “platform pergerakan udara”.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke, bagaimanapun, menggambarkan “kenderaan” itu sebagai dron.
“Kerajaan sudah mula melatih golongan belia dalam program menggunakan dron. Kenderaan terbang tanpa (jurupandu) manusia. Panggil lah apa awak suka. Dron atau super dron. Di barat, mereka panggil dron,” kata Redzuan.
Ahli Parlimen Pasir Salak Tajudin Abdul Rahman kemudian bangkit dan menuduh Redzuan merepek.
“Dulu awak panggil kereta terbang tetapi hari ini panggil dron. Merepek,” katanya.
Redzuan kemudia membalas: “Ini pendekatan pemimpin ‘tidak berilmu’,”.
Ahli Parlimen Paya Besar Mohd Shahar Abdullah kemudian memberitahu Redzuan bahawa menteri pengangkutan yang menggelarkan kereta terbang itu sebagai dron.
“Saya sokong inisiatif Tok Wan (Redzuan) tetapi menteri yang panggilnya dron. Daripada DAP,” kata Shahar.
Ahli Parlimen Lenggong Shamsul Anuar Nasarah kemudian turut bangkit, meminta Redzuan duduk daripada terus menjadi bahan jenaka dewan.
Speaker Dewan Mohamad Ariff Md Yusof menasihati semua wakil rakyat supaya menerima jemputan Redzuan dan mengikutnya ke ujian kereta terbang esok. – 20 November, 2019.
Komen