Kabinet luluskan cadangan perkhidmatan teksi motosikal


Menteri Pembangunan Usahawan Mohd Redzuan Yusof berkata, KBS dan MOT perlu jalankan kajian terperinci khususnya dari segi aspek perundangan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Ogos, 2019.

KABINET hari ini bersetuju dengan cadangan untuk mewujudkan perkhidmatan teksi motosikal Go-Jek dan jemaah menteri memutuskan agar kajian dari sudut undang-undang dibuat terlebih dahulu sebelum ia boleh dilaksanakan.

Menteri Pembangunan dan Usahawan Mohd Redzuan Mohd Yusof berkata keputusan telah dibuat supaya Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melaksanakan tanggungjawab mewujudkan ruang serta undang-undang untuk Go-Jek dimajukan.

Beliau berkata sekiranya pelaksanaan perkhidmatan memerlukan undang-undang baharu diperkenalkan atau undang-undang sedia ada dilonggarkan maka perkara itu perlu dikaji oleh MOT serta KBS dan dibentangkan untuk persetujuan jemaah menteri.

“Ada lampu hijau (daripada Kabinet) untuk diperincikan dalam bentuk membuka ruang dan undang-undang supaya proses yang kita nak laksanakan ini tidak melanggar undang-undang sedia ada,” katanya kepada media selepas pelancaran Tekun Mart Mobile hari ini.

Menurutnya dalam usaha kerajaan membangunkan ekonomi anak muda, segala projek yang ingin dilaksanakan perlu mengikut undang-undang.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini membentangkan usul dan cadangan kepada Kabinet untuk melaksanakan program itu. – Bernama, 21 Ogos, 2019.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen