Azmin khianat amanah rakyat, kata pemimpin PKR


Diyana Ibrahim Lee Chi Leong Ravin Palanisamy

Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali mengadakan pertemuan tertutup dengan ahli Parlimen pembangkang pada malam tadi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 November, 2019.

TINDAKAN Mohamed Azmin Ali mengadakan pertemuan tertutup dengan ahli Parlimen pembangkang pada malam tadi menyerlahkan sikap pengkhianat timbalan presiden PKR itu, kata pemimpin parti.

Ketua Penerangan PKR Shamsul Iskandar Md Akin berkata rakyat akan memandang demikian kerana pertemuan dibuat selepas PH kalah teruk dalam PRK Tanjung Piai pada Sabtu lalu.

“Biat rakyat menilai, sehari selepas kekalahan teruk PRK di Tanjung Piai… kita ada seorang naib presiden PH yang buat pertemuan dengan pimpinan Umno.

“Perkataan paling sesuai ialah mengkhianati amanah yang rakyat beri kalau pertemuan seperti ini berlaku sehari selepas kekalahan teruk PH,” katanya kepada wakil media di lobi Parlimen.

Beliau mengulas mengenai pertemuan tertutup pada malam tadi bersama Azmin dan pengikutnya bersama sekurang-kurangnya 22 ahli Parlimen pembangkang.

Pemimpin PKR yang terlibat dalam pertemuan itu termasuk Azmin dan dua lagi anggota Kabinet, Zuraida Kamarudin dan Kamarudin Jaafar.

Pertemuan tertutup dengan ahli Parlimen pembangkang pada malam tadi menyerlahkan sikap pengkhianat Azmin, kata Ketua Penerangan PKR Shamsul Iskandar Md Akin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 November, 2019.

Presiden PKR Anwar Ibrahim dalam reaksinya menggesa Azmin memberi penjelasan dan Biro Politik PKR juga mengumumkan akan bermesyuarat bagi membincangkan pertemuan itu.

Lembaga Disiplin Umno pula mengumumkan akan menyiasat wakil rakyatnya yang terlibat dalam pertemuan itu.

Antara ahli Parlimen BN terbabit termasuklah bekas naib presiden Umno Hishammuddin Hussein yang sebelum ini didakwa berusaha membawa ahli Parlimen parti itu menyertai parti kerajaan.

Hishammuddin hari ini menafikan beliau mengatur pertemuan tersebut dan menyatakan kesediaan untuk disiasat oleh Umno.

Pertemuan di kediaman Azmin di Putrajaya pada malam tadi dipercayai untuk menghalang usaha menekan Dr Mahathir meletak jawatan.

Tekanan agar Dr Mahahir meletak jawatan dan menyerahkan kuasa kepada Anwar itu semakin kuat selepas prestasi buruk PH dalam PRK Tanjung Piai, Sabtu lalu. – 19 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen