MOHAMED Azmin Ali perlu memberi penjelasan mengenai pertemuan dengan ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) di kediaman rasminya malam tadi, kata Presiden PKR Anwar Ibrahim.
Anwar berkata pertemuan timbalan presidennya bersama ahli Parlimen BN dan beberapa ahli Parlimen PKR menimbulkan banyak persoalan daripada orang ramai dan ia perlu diperjelaskan oleh menteri hal ehwal ekonomi itu.
“Sudah tentu kami akan meminta penjelasannya terlebih dahulu kerana insiden seperti itu menimbulkan banyak persoalan. Jadi, beliau perlu menjelaskannya,” kata Anwar ketika ditemui oleh wartawan di lobi Parlimen hari ini.
Ahli Parlimen BN berada di kediaman Azmin malam tadi yang dipercayai pertemuan bagi menghentikan percubaan memaksa Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan.
Antara ahli Parlimen terbabit ialah Hishammuddin Hussein. Terdapat spekulasi sejak beberapa bulan yang bekas naib presiden Umno ini ada kaitan dengan usaha membawa ahli partinya menyertai Pakatan Harapan (PH).
Pertemuan di kediaman menteri hal ehwal ekonomi di Putrajaya bermula kira-kira jam 9.30 malam dan berlangsung selama dua jam.
Mereka yang meninggalkan rumah itu mendiamkan diri mengenai apa yang dibincangkan.
Anwar berkata beliau tidak pasti sama ada Azmin mengadakan pertemuan itu atas kapasiti parti atau menteri.
“Saya tidak tahu sebab itu saya minta lebih baik bagi penjelasan, kalau atas kapasiti parti ataupun kerajaan.
“Kalau kerajaan, mengapa ada ahli Parlimen yang tidak diundang?” Tanya Anwar.
Terdahulu, Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata perkara ini akan dibincangkan dalam mesyuarat biro politik parti esok.
Anwar berkata Azmin patut hadir mesyuarat esok, untuk memberi penjelasan mengenai apa yang berlaku antara beliau dan ahli parlimen BN. – 19 November, 2019.
Komen