Puisi saya diputar belit, kata mufti Perlis


Mufti Perlis Dr Asri Zainal Abidin berkata beliau sejak dulu sentiasa mencari ruang adil dan damai dalam memberi pandangan mengenai semua agama. – Gambar Facebook, 23 April, 2017.

MUFTI Perlis Dr Asri Zainal Abidin menyelar sesetengah golongan bukan Islam yang campur tangan dalam hal ehwal Islam dan berkata puisi “lembu” tulisannya itu diputar belit kononnya untuk kaum Hindu di Malaysia.

Dalam posting terbaru dimuat naik di Facebook, Asri berkata beliau sejak dulu sentiasa mencari ruang adil dan damai dalam memberi pandangan mengenai semua agama.

Katanya, beliau juga menentang sesiapa pun memanggil bukan Islam sebagai kafir harbi kerana bimbang ketegangan antara agama.

“Pun begitu, itu semua tidak memberikan manfaat kepada pihak ini agar jangan bangkitkan isu ketegangan agama dan permusuhan antara kaum.

“Mereka ini menelefon Jabatan Mufti Perlis dan memaki hamun,” tulisnya.

Beliau berkata pihak berkenaan tidak menghargai usaha Jabatan Mufit Perlis untuk berlaku adil kepada semua, dan antaranya ialah berhubung fatwa hak penjagaan anak.

Katanya, fatwa Perlis merentasi isu agama kepada isu kepentingan anak tanpa diikat dengan isu agama dan ia turut mengkaji beberapa isu anak yang membabitkan penganut Hindu di Malaysia, dan membenarkan ulul amri memberikan bahagian kepada bukan Islam atas asnaf mualaf.

“Itu semua tidak pernah dihargai mereka. Bahkan Hindraf berani campur tangan urusan khutbah dalam masjid yang diatur Jabatan Mufti.

“Selepas itu, puisi saya yang berkaitan kerajaan Modi India mereka spin kononnya untuk kaum Hindu di Malaysia. Maka, apakah sebenarnya yang mereka mahu?,” katanya.

Tahun lalu, Asri berkata pindaan kepada undang-undang pertukaran agama kanak-kanak bertentangan dengan fatwa negeri itu, yang menyatakan anak seorang mulaf boleh menerima ajaran Islam tanpa perlu ditukarkan agamanya kepada Islam.

Pada Mac tahun ini, belia mengumumkan golongan bukan Islam di Perlis juga akan menerima bayaran zakat.

Beliau berkata komen Hindraf mengenai Islam di Internet menyentuh sensitiviti umat Islam dan kumpulan itu menggunakan nama kerajaan India terhadap isu berkaitan pendakwah Dr Zakir Naik.

India sudah mengeluarkan waran tangkap kedua terhadap Zakir.

“Seakan mereka mewakili kerajaan India. Kita tahu Kerajaan India di bawah pimpinan Modi seorang fanatik agama sekarang ini, ramai umat Islam dan Kristian yang mati dibunuh. Isu lembu saja mengorbankan ramai umat Islam dengan penuh ngeri dan kejam,” katanya.

Pada Jumaat, Asri menyiarkan satu puisi yang nampak seperti mengkritik Hindu kerana memuja lembu. Beliau bagaimanapun mempertahankan puisinya dengan berkata ia sebenarnya kritikan terhadap kerajaan Narendra Modi di India.

Puisinya itu dikecam masyarakat Hindu dan ramai pengguna media sosial.

Portal berita The Malay Mail Online hari ini melaporkan Asri akan bertemu dengan masyarakat India, menjelaskan mengenai puisi kontroversinya.

“Saya akan bertemu dengan masyarakat India dan jelaskan perkara itu. Mungkin minggu ini,” katanya dipetik sebagai berkata. – 23 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen