Mufti Perlis pertahan ‘puisi lembu'


Mufti Perlis Asri Zainul Abidin berkata rakyat Malaysia tidak seharusnya tersinggung dengan ‘puisi lembu’ yang disiarkan di Facebooknya. – Gambar Facebook, 22 April, 2017.

MUFTI Perlis Asri Zainul Abidin tampil mempertahankan puisi beliau, yang seolah-olah mengkritik agama Hindu kerana mendewakan lembu, berkata ia kritikan terhadap kerajaan Narendra Modi di India.

Asri, yang lebih dikenali sebagai Dr Maza, hari ini menulis di Facebook: “Ada yang bertanya; mengapakah puisi Jumaat itu menyebut perkataan ‘mempertuhankan lembu’? Jawabnya kerana puisi memperkatakan tentang kerajaan Modi di India yang membiarkan saban hari Muslim dibunuh dengan kejam hanya kerana memakan daging lembu.”

Kerajaan Modi memberitahu rakyatnya yang lembu adalah suci dan ia secara tidak langsung menyebabkan serangan ke atas Islam, kata Asri.

Puisi Asri, yang disiarkan pada Jumaat susulan berita India mengeluarkan surat perintah penangkapan kedua terhadap pendakwah kontroversi Dr Zakir Naik, diselar ramai masyarakat Hindu dan pengguna media sosial.

Asri berkata mereka yang tidak memuja lembu di negara ini tidak sepatutnya tersinggung.

“Puisi itu untuk suasana semasa di negara India. Saya percaya dalam negara kita yang rata-rata berpendidikan tinggi tidak mungkin akan menyembah haiwan seperti lembu, ataupun mensucikannya. Apatahlagi sehingga sanggup membunuh orang lain kerananya. Akal yang waras mustahil menerima hal seperti itu.”

Asri juga mempertahankan tulisan beliau mengena sistem kasta di India, berkata ia tidak seharusnya menyinggung perasaan rakyat Malaysia yang tidak berpegang kepada kepercayaan itu.

“Demikian manusia yang waras menolak kepercayaan kasta antara manusia seperti yang berlaku di India sehingga ada kasta yang dipanggil ‘pariah’.

“Kasta paria dan kepercayaan kasta tidak patut wujud di negara kita yang percaya kesamarataan antara manusia.” – 22 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Mufti Datuk Asri, BERTAUBATLAH dan jangan memperbodohkan orang India di Malaysia. Pusi Pagi Jumaat adalah bertujuan untuk menghentam orang India di Malaysia. Ini jelas dari beberapa baris puisi tersebut.
    ...APABILA YANG MEMPERTUHANKAN LEMBU BERSATU..
    LANTAS MENYERU AGAR PENDAKWAH KITA DIBELENGGU..
    MAHU DISERAHKAN KEPADA KERAJAAN ZALIM MENYEMBAH API DAN
    PENGANUT SATI. .

    Siapa yang menentang ceramah-ceramah Zakir Naik di Malaysia kalau bukan orang-orang di Malaysia, iaitu bukan sahaja orang bukan Islam tetapi juga orang Islam?
    Siapa yang mahu Zakir Naik diserahkan kepada Kerajaan India kalau bukan orang di Malaysia?

    “DISINI PULA TIDAK PERNAH MEREKA BERTERIMA KASIH KEPADA APA YANG ADA ..”
    Siapa yang dikatakan itu yang tidak pernah berterima kasih kepada apa yang ada kalau bukan orang India di Malaysia?

    Sebaliknya, tahu kah Datuk Asri bahawa masyarakat Malaysia harus berterima kasih kepada orang-orang India yang telah banyak menyumbangkan untuk pembangunan Negara ini? Mereka lah yang telah membina jalan-jalan dan landasan-landasan kereta api dan berbagai infrastruktur lain sebelum kemerdekaan.

    Maka diharapkan Datuk Asri akan sudi bertaubat dan memohon maaf kepada kaum India.

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Ravinder Singh · Ulasan