Finas buatlah kerja Finas


Daniyal Kadir

PERBADANAN Kemajuan Filem Nasional (Finas) kita ketahui mempunyai banyak tanggungjawab dan peranan penting yang harus dimainkan.

Sudah tentu apabila kita cuba menyenaraikan peranan dan tanggungjawab ini, ia akan menjadi satu senarai yang cukup panjang.

Bermula dengan tugas memulihkan ekosistem perfileman di Malaysia, menyelesaikan isu berkaitan sistem sokongan panggung wayang ke atas filem tempatan, mewujudkan arkib filem, meluaskan program apresiasi filem dan pengurusan dana perfileman lebih cekap.

Namun semalam, kita dikejutkan dengan perkara berkaitan penapisan kandungan di laman tontonan antarabangsa seperti Netflix yang dibangkitkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Finas, Ahmad Idham Ahmad Nadzri.

Agensi berita rasmi negara, Bernama melaporkan CEO Finas menyatakan kandungan filem dan program yang ditawarkan melalui platform digital seperti Netflix tidak ditapis dan beliau juga dipetik sebagai berkata seperti berikut:

“Kalau kita kawal kandungan di platform media tempatan sahaja tetapi kandungan (dalam talian) program antarabangsa terbuka kepada sesiapa pun, ia akan tetapi memberi risiko kepada pembangunan minda anak-anak kita.”

Bernama dalam laporan sama turut menyebut bahawa CEO Finas memaklumkan telah berjumpa dengan Lembaga Penapisan Filem dan menyuarakan isu itu serta berharap akan ada kawalan yang lebih baik terhadap kandungan filem dan program yang ditawarkan platform dalam talian.

Melalui laporan ini, kita dapat mengandaikan bahawa Finas cuba untuk mengambil perhatian terhadap isu moral dan minda golongan muda, khasnya kanak-kanak yang menonton sesebuah kandungan di dalam platform antarabangsa seperti Netflix.

Isu ini sebenarnya bukanlah isu besar dan terlalu penting seperti senarai utama yang wajar diberikan perhatian khusus oleh Finas.

Secara keseluruhannya, mengaitkan kandungan tontonan yang tidak ditapis dengan aspek keruntuhan moral dan kesan-kesan buruk yang berkaitan terhadap pembangunan minda anak-anak merupakan satu hujah usang yang jelas telah ketinggalan zaman.

Kita bukan lagi berada pada zaman awal pembentukan negara atau zaman pendidikan belum menjadi wajib dan bilangan warga yang ke sekolah amat sedikit.

Kita berada pada zaman ilmu dan pengetahuan berada di hujung jari dan zaman yang melihatkan pendidikan menjadi keperluan asas untuk kehidupan seseorang manusia.

Pada waktu dahulu sumber hiburan datang dari panggung wayang dan televisyen, dan mereka memegang segala-galanya untuk kenikmatan berhibur buat masyarakat.

Keadaan pada masa kini sudah jelas berubah, pelbagai penyedia kandungan dengan mudah menyerap masuk dan memberi hiburan melalui apa yang kita kenali sebagai Internet.

Pada waktu itu, kita sewajarnya tidak lagi mengharapkan kerajaan untuk melaksanakan kerja-kerja pengawalan moral untuk kita. Moral merupakan tanggungjawab individu dan keluarganya sendiri.

Mengapa kita masih mahu berpaut kepada keadaan di mana kerajaan itu tahu semua dan segala-galanya. Kerajaan berbentuk seperti ini sudah tidak wujud lagi.

Pada waktu ini, kita mengimpikan sebuah kerajaan yang terhad bentuknya, sebuah limited government.

Sekarang bukan lagi waktu untuk kerajaan menentukan filem apa yang boleh kita tonton, buku apa yang boleh kita baca dan muzik apa yang boleh kita dengar.

Dalam meraikan usaha mewujudkan sebuah limited government yang berkesan, dalam aspek ini, lebih baik untuk kita mengaplikasikan kaedah yang disebut sebagai self censorship atau penapisan kendiri.

Tanggungjawab menapis kandungan yang boleh atau tidak ditonton anak-anak ini bukan pada tangan kerajaan, sebaliknya ia berada pada tangan ibu bapa. Mereka sewajarnya memainkan peranan aktif dalam hal ini.

Secara mudahnya tanggungjawab moral ialah tanggungjawab luas untuk keluarga.

Bagaimana untuk melaksanakan penapisan kendiri ini?

Setiap platform kandungan seperti YouTube dan Netflix telah membangunkan kaedah penapisan sendiri. Anda tidak perlu risau, hanya pergi ke ruangan tetapan atau setting dan uruskanlah penapisan kandungan anda sendiri.

Malah Netflix dan YouTube turut menyediakan kandungan Kids mereka sendiri dan ini lebih memudahkan usaha penapisan secara kendiri.

Hal ini bukanlah sesuatu hal yang harus dibesar-besarkan. Finas tidak perlu kalut dalam hal ini. Ia semudah membaca ABC, sepantas kilat anda boleh menapis kandungan anda sendiri, tanpa perlu sebarang peraturan dan campurtangan kerajaan.

Berikanlah kebebasan yang lebih baik buat ibu bapa kerana anak-anak adalah tanggungjawab mereka.

Sementara itu, Finas bolehlah terus menumpukan perhatian membangunkan ekosistem perfileman negara yang kebetulan masih banyak perlu dibereskan. – 17 November, 2019. 

* Daniyal Kadir ialah penulis buku Membedah P.Ramlee, Ahli Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur dan Anggota Sidang Komuniti Filem Titiwangsa.

* Daniyal Kadir ialah penulis buku Membedah P.Ramlee, Ahli Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur dan Anggota Sidang Komuniti Filem Titiwangsa.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen