Peraturan baharu JPJ sukarkan pemilik motosikal pedalaman Sarawak


Desmond Davidson

Menteri Pengangkutan Sarawak Lee Kim Shin (tengah) berkata satu mesyuarat akan diadakan dengan Anthony Loke di Putrajaya bagi membincangkan isu pembaharuan cukai jalan bagi pemilik motosikal di kawasan pedalaman. – Gambar The Malaysian Insight, 20 November, 2019.

RIBUAN pemilik motosikal di kawasan pedalaman Sarawak berdepan masalah dengan peraturan baharu pembaharuan cukai jalan dikenakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Motosikal dengan kuasa 151cc dan ke atas, yang sebelum ini tidak ada dalam pendaftaran atas talian JPJ, kini diarahkan membawa kenderaan mereka ke pejabat JPJ berhampiran untuk pengesahan, bermula 1 November.

Tetapi perjalanan yang sepatutnya mudah sekali saja ke JPJ, akhirnya akan menjadi satu proses panjang, dua atau tiga kali kerana masalah online, kata Menteri Pengangkutan Sarawak Lee Kim Shin.

Jarak yang jauh dan kesukaran untuk perjalanan darat juga menjadi masalah kepada mereka di kawasan pedalaman, di mana motosikal adalah cara paling murah untuk bergerak antara kampung ke kampung.

“Boleh anda bayangkan pemilik motosikal di Belaga terpaksa bawa motosikalnya ke Kapit atau pemilik di Lubok Antu perlu ke Simanggang?” kata Lee.

Belaga ialah bandar utama terakhir di Sungai Rajang, di mana pemilik motosikal dari kawasan pedalaman perlu membawa kenderaan itu menggunakan bot. Kemudian dari situ, mereka perlu meredah 200km lagi jalan darat ke pejabat JPJ terhampir iaitu sama ada di Kapit atau Bintulu.

Membawa motosikal menaiki bot panjang juga berisiko tinggi ketika berdepan arus deras di sungai.

Sementara itu, Lubok Antu adalah bandar sempadan antara Sarawak-Kalimantan, kira-kira 260km dari Kuching, sementara Simanggang sejauh 86km.

“Siapa yang hendak bersusah payah seperti itu? Kos ke pejabat JPJ untuk menunjukkan motosikal itu mungkin lebih mahal daripada cukai jalan,” kata Lee kepada The Malaysian Insight.

Katanya, orang yang merangka dasar peraturan itu sudah tentu tidak tahu langsung keadaan di Sarawak.

Lee berkata beliau dimaklumkan tentang masalah itu oleh Persatuan Peniaga Basikal dan Motosikal Wilayah Utara Sarawak yang cuba mendapatkan bantuannya menyelesaikan masalah itu.

Di kawasan luar bandar, diketahui tidak semua motosikal didaftarkan dan ada cukai jalan.

JPJ pada September berkata ketirisan dalam pendapatan menerusi pembaharuan cukai jalan lebih RM50 juta dari Januari hingga Ogos tahun ini. Ia kemudian mengenakan dasar baharu memerlukan motosikal berkelajuan 151cc ke atas dibawa ke pejabat JPJ.

Peniaga motosikal juga berdepan kesukaran untuk membantu pemilik baharu motosikal mendaftar dan mendapatkan cukai jalan.

“Kami tidak boleh tunggang pejabat JPJ untuk proses pendaftaran, atau kami akan dituduh (oleh pembeli) menjual motosikal terpakai kepada mereka,” kata peniaga Aaron Tay kepada The Malaysian Insight.

“Jadi kami terpaksa bawa motosikal ini menaiki trak ke pejabat JPJ. Ia sukar untuk membawa naik dan turunkan motosikal,” kata pemilik Tay Motors (M) Sdn Bhd di Kota Sentosa yang mendaftarkan 10 motosikal sehari.

Kedainya di Kota Sentosa sejauh 17km dari pejabat JPJ di Kuching.

Cukai jalan motosikal biasanya lebih rendah untuk semua saiz enjin di Sabah dan Sarawak, berbanding di Semenanjung.

Bagi enjin antara 151cc dan 200cc ialah RM9 di Sarawak dan Sabah, manakala di Semenanjung RM30.

Bagi motosikal 201cc hingga 250cc, bayarannya RM12 di Sarawak dan Sabah, dan RM50 di Semenanjung; RM30 dan RM180 masing-masing bagi (251cc hingga 500cc); dan RM40 dan RM250 (501cc hingga 800cc).

Bagi motosikal besa dengan enjin 800cc ke atas, cukai jalan RM42 di Sarawak dan Sabah, manakala Semenanjung RM350.

Lee berkata beliau akan membincangkan masalah itu dalam pertemuan dengan Menteri Pengangkutan persekutuan Anthony Loke di Putrajaya, Isnin depan. – 20 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen