Tempoh reman Shafie Apdal dilanjut empat hari 


Jason Santos Radzi Razak

Presiden Parti Warisan Sabah Shafie Apdal diiringi anggota polis ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Kinabalu untuk memohon lanjutan tempoh reman. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkifli, 23 Oktober, 2017.

TEMPOH reman terhadap presiden Parti Warisan Sabah Shafie Apdal dilanjutkan lagi empat hari untuk membantu siasatan berhubung dakwaan penyelewengan membabitkan dana persekutuan yang disalurkan ke Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah ketika beliau menjadi menterinya.

Mahkamah Majistret Kota Kinabalu membenarkan lanjutan tempoh reman yang dimohon oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang kini sedang menyiasat dakwaan penyelewengan dana yang diperuntukkan untuk pembangunan kawasan luar bandar Sabah. 

Peguamnya Martin Tommy berkata beliau terkejut dengan keputusan mahkamah kerana Shafie memberikan kerjasama yang baik dengan SPRM sepanjang empat hari ditahan. 

“Kita tidak jangkakan akan mendapat lanjutan tempoh reman kerana beliau (Shafie) sudah melengkapkan semua kenyataannya (kepada SPRM), menyerahkan dokumen dan perkara berkaitan. Beliau memberikan kerjasama penuh kepada SPRM.

“Beliau dijangka untuk hadir ke Parlimen dan ia penting berikutan pembentangan Bajet. Saya rasa beliau tidak dapat menghadirinya,” katanya kepada pemberita. 

Shafie sebelum ini direman empat hari pada Jumaat bagi membantu siasatan SPRM berhubung kes penyelewengan membabitkan dana persekutuan berjumlah RM1.5 bilion yang diperuntukkan kepada projek pembangunan luar bandar Sabah.

Tempoh reman itu berakhir hari ini dan mahkamah membenarkan lanjutan tempoh reman selepas dimohon SPRM. 

Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu turut menolak permohonan Shafie Apdal untuk menyemak dan membatalkan perintah tahanan reman ke atasnya oleh SPRM awal hari ini.

Sementara itu lebih 500 penyokong Shafie telah berkumpul sejak pagi lagi di luar Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu bagi memberi sokongan kepada Shafie.

Mereka menjerit slogan “Sabah Ubah” “Bebaskan Datuk Seri” dan menyanyi pelbagai lagu setiap kali kelibat Shafie, isterinya, Shuryani dan pemimpin Warisan lain kelihatan.

Malah beberapa kali pegawai polis meminta penyokong untuk mengurangkan suara mereka kerana ia dapat didengari di dalam kamar mahkamah.

Mereka yang berhimpun diketuai oleh Ketua Pemuda Warisan Azis Jamman turut melancarkan derma dan berjaya mengutip RM 2,320.20 untuk disumbangkan kepada mangsa banjir di Kota Belud.

Khalayak bersurai selepas jam empat petang tanpa sebarang kekecohan. – 23 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen