Majlis Ulama Indonesia larang ucap salam semua agama


Majlis Ulama Islam melarang pemimpin Islam memberikan salam dari agama lain. – Gambar EPA, 11 November, 2019.

MAJLIS Ulama Indonesia Jawa Timur menasihati umat dan pemimpin yang beragama Islam supaya menghentikan amalan mengucap salam dari agama lain semasa menyampaikan ucapan, lapor media republik itu.

Larangan itu dikeluarkan melalui surat pekeliling yang ditandatangani Ketua MUI Jawa Timur Abdusshomad Buchori dan Setiausahanya Ainul Yaqin.

Surat itu menyebut ucapan salam semua agama adalah perkara bida’ah dan syubhah atau tidak jelas hukumnya, dan kerana itu wajar dihindari oleh umat Islam.

Selain memberi salam dalam Islam iaitu “Assalamualaikum”, pemimpin di Indonesia lazim membuka ucapan dengan melanjutkan dengan ucapan dengan kata-kata “salam sejahtera bagi kita semua, Shalom, Om swastiastu, Namo buddhaya, salam kebajikan.”

Ia popular dimulakan oleh Presiden Joko Widodo dan diikuti pemimpin lain, dengan memberi salam yang masing-masing mewakili agama Kristian, Hindu, Buddha dan ajaran Konfusianisme.

“Mengucapkan salam pembuka dari semua agama yang dilakukan oleh umat Islam adalah perbuatan baru yang merupakan bida’ah, yang tidak pernah ada di masa lalu… (yang) mengandung nilai syubhah, yang patut dihindari,” lapor CNN Indonesia, memetik surat pekeliling itu.

Surat itu dikeluarkan hasil keputusan daripada mesyuarat MUI pada pertengahan Oktober lalu, tambah beliau.

Amalan mengucap salam semua agama dilihat usaha mencerminkan kemajmukan Indonesia.

Abdusshomad bagaimanapun tidak setuju salam semua agama itu dibuat sebagai tolak ansur dan merayakan perbezaan. Katanya, salam tidak harus dicampur aduk kerana boleh merosakkan ajaran agama.

Beliau juga menjelaskan salam dalam Islam adalah doa, dan doa adalah sebahagian daripada ibadat dan tidak boleh dibuat sambil lewa.

“Salam, Assalamualaikum itu doa, salam itu termasuk doa dan doa itu ibadah. Sehingga kalau saya menyebut Assalamualaikum itu doa semoga Allah SWT memberi keselamatan kepada kamu sekalian dan itu salam umat Islam,” katanya, dipetik CNN Indonesia.

Tambahnya, salam dalam agama lain juga adalah doa kepada tuhan agama tersebut masing-masing.

Dalam reaksi awal, Menteri Agama Fachrul Razi berkata beliau belum ada maklumat jelas tentang nasihat majlis ulama itu namun membayangkan hal itu tidak harus jadi masalah.

“Kalau di situ bukan hanya orang agama Islam, pasti ... kecuali acara Islam, Islam saja. Tapi kalau acara umum, nasional, harus nasional,” katanya, seperti dipetik beberapa media.

Sementara itu, Setiausaha Majlis Ulama Indonesia Jawa Barat, Rafani Achyar berkata pihaknya belum mengeluarkan nasihat atau larangan yang sama kerana berpendapat ia perlu diteliti dahulu.

Katanya, tiada masalah jika majlis ulama berbeza pandangan, malah perkara yang diputuskan MUI Jawa Timur itu belum juga disentuh oleh Majlis Ulama Indonesia di peringkat pusat.

Bagaimanapun beliau secara peribadi berpendapat ucapan “salam sejahtera” sudah memadai untuk merangkumi semua agama.

“Untuk mencerminkan nusantara, cukup ucapan salam dengan menambahkan salam sejahtera setelah salam. Umat Islam di manapun (di Indonesia) majoriti,” katanya, dipetik IDN Times.

“Secara makna kata salam sejahtera tidak ada masalah, secara akidah juga. Tapi yang berlaku sekarang salamnya ada namo budhaya dan lainnya. Padahal orang dengan agama yang tersebut tidak ada.” – 11 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen