PRESIDEN Berjasa Badrulhisham Abdul Aziz yakin tidak akan hilang wang deposit walau PAS dan Umno berkempen agar pengundi Melayu menolaknya.
Beliau yakin akan tetap mendapat sokongan pengundi Melayu terutama dari kalangan ahli Umno dan PAS.
“Kempen orang Umno dan PAS yang kata jangan undi Berjasa, pemimpin mereka boleh kata demikian tapi kami percaya pengundi akan beri undi mereka,” katanya kepada pemberita.
Beliau menegaskan, Berjasa bukan parti dengan sikap perkauman dan akan membuktikannya dalam kempen mereka dengan mendapatkan sokongan pengundi bukan Melayu.
“Di Tanjung Piai kita perlu dapatkan undi daripada kaum Cina yang membentuk 42% pengundi di sini.
“Kalau nak menang tanpa undi Cina, saya perlu 88% undi Melayu tapi itu bukan matlamat kita. Kita perlu 10% hingga 15% undi Cina dan India, kita boleh menang,” kata Badhrulhisham lagi.
Oleh itu beliau akan menumpukan kempen di kawasan Melayu dan Islam dan turut memasuki kawasan pengundi bukan Melayu, katanya ketika ditemui semasa berkempen di Tanjung Piai.
“Dengan kekuatan jentera kami akan berkempen dan bertemu dengan semua pengundi di Tanjung Piai,” katanya.
Kempen Berjasa juga katanya akan bertumpu kepada isu sosioekonomi penduduk tempatan selain memfokuskan kepada generasi muda.
“Kita akan keluarkan manifesto dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau juga menegaskan, kawasan itu sepatutnya diwakili ahli Parlimen Melayu kerana majoriti pengundinya terdiri daripada orang Melayu.
Tambahnya, walau Berjasa tidak mempunyai struktur parti di Tanjung Piai, ia mendapat kekuatan kekuatan jentera seramai 3,000 orang yang sebahagian besarnya dari golongan belia.
“Ahli kami yang menjadi pengundi ada 10 orang, strateginya kami bergantung kepada penyokong,” katanya.
Tambahnya, Berjasa juga meletakkan sasaran bertanding di 30 kerusi Parlimen dan Dun di seluruh negara dalam PRU15, dan Tanjung Piai adalah salah satu daripadanya.
Katanya, tumpuan kempen Berjasa akan diberikan kepada kawasan Melayu namun tanpa meminggirkan kawasan pengundi Cina.
PRK Parlimen Tanjung Piai berlangsung ekoran kematian penyandangnya Dr Md Farid Md Rafik akibat serangan jantung pada 21 September lalu.
Badrulhisham berdepan lima lagi calon, termasuk Ketua Bahagian MCA Tanjung Piai Wee Jeck Seng, 55, yang mahu menawan kembali kerusi yang dimenangi pada 2008 dan 2013.
Pakatan Harapan (PH) pula meletakkan Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai Karmaine Sardini, untuk mempertahankan kerusi itu.
Calon lain termasuklah Wendy Subramaniam, 38, mewakili Gerakan dan dua calon Bebas, Ang Chuan Lock, 39, dan Faridah Aryani Abd Ghaffar, 43, yang mewakili kumpulan pemandu teksi. – 4 November, 2019.
Komen