DAKWAAN PAS bahawa Berjasa membelakangkan kerjasama dalam Gagasan Sejahtera dengan bertanding kerusi Tanjung Piai hanyalah isu remeh, kata Badhrulhisham Abdul Aziz.
Presiden Berjasa itu berkata parti itu sememangnya disisihkan sejak awal oleh PAS dan Umno dalam perbincangan untuk bertanding kerusi Parlimen berkenaan.
Sedangkan Berjasa sudah meminta agar perbincangan berkenaan melibatkan parti itu, kata Badrulhisham kepada pemberita.
Oleh itu PAS juga tidak boleh mendakwa parti tersebut tidak merestui Berjasa bertanding di kawasan itu, katanya.
“Kita dah minta PAS berbincang tapi benda itu tak berlaku. Tak adil mereka kata tak restu. Sikap macam ini kena ubah, kalau kita ego macam itu dengan parti lain kita tak akan ke mana.
“PAS dan Umno tidak hiraukan (Berjasa), PAS tak panggil kami berbincang bersama Umno.
“Isu melibatkan PAS itu bagi saya benda itu agak remeh dan kita fikir agenda yang lebih besar,” katanya lagi semasa berkempen di Tanjung Piai hari ini.
Gagasan Sejahtera merupakan gabungan politik yang dianggotai PAS, Berjasa, Ikatan, dan Parti Cinta Malaysia (PCM) sebelum PRU14 bagi menyaingi BN dan PH.
Berjasa menyertai Gagasan Sejahtera pada 2017.
Di satu sisi lagi, PAS bekerjasama dengan Umno dan membentuk muafakat nasional yang dilengkapi dengan tandantangan piagam.
Oleh itu, keputusan Berjasa meletakkan calon tidak disenangi pimpinan PAS, kerana parti Islam itu sepakat menghormati piagam berkenaan dengan menyokong calon BN dari MCA Wee Jeck Seng.
Namun menurut Badrulhisham, perkara sepatutnya berlaku.
“PAS dan Umno kena lebih terbuka dengan utamakan parti Melayu,” katanya lagi.
Susulan itu, PAS mengeluarkan arahan kepada ahli agar memilih calon BN dan tidak mengundi Berjasa dalam pemilihan 16 November.
Setiausa agungnya Takiyuddin Hasan berkata PAS tidak merestui tindakan Berjasa yang berdegil untuk bertanding di situ.
“Kita tetap tidak akan undi Berjasa, walaupun hanya satu undi. Dulu mereka berdiri di bawah bendera Pas tapi kini atas diri sendiri. Kita tengok berapa undi mereka dapat,” kata Takiyuddin.
Dalam PRU14, Berjasa meletakkan calonnya Nordin Ahmad bertanding di Tanjung Piai menggunakan tiket PAS dan memperolehi hampir 3,000 undi.
Dalam sidang medianya hari ini, Badhrulhisham menegaskan Berjasa juga tidak akan menjadi punca perpecahan Gagasan Sejahtera dengan tindakan partinya itu.
“Gagasan Sejahtera tidak akan pecah dan saya percaya kita pun tidak akan dibuang.
“Berjasa dan Ikatan harap PAS dan Umno membudayakan budaya syura dalam Gagasan Sejahtera sebelum buat sebarng keputusan,” kata Badhrulhisham lagi.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui semasa berkempen di Masjid Kampung Parit Selangor, Pekan Nanas. – 4 November, 2019.
Komen