Jika Umno-BN hilang lebih banyak negeri, adakah Najib akan berundur?


Sharon Tan

Mengikut beberapa kajian, sentimen terhadap Umno dan BN berbeza di peringkat nasional dan negeri, situasi ini memungkinkan berlaku pecah undi kepada Umno dan BN itu sendiri di peringkat Parlimen dan DUN. Adakah Najib Razak akan berundur sekiranya Umno-BN hilang lebih banyak negeri pada PRU14 nanti? – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Oktober, 2017.

WALAUPUN Umno dan Barisan Nasional (BN) dijangka terus berkuasa di Putrajaya pada pilihan raya umum akan datang, kemenangan itu tidak semudah yang disangka apabila beberapa buah negeri nampaknya “bermasalah” dengan Presiden Umno Najib Razak.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS), Wan Saiful Wan Jan berkata ada tinjauan yang dilakukan pihak persendirian di beberapa buah negeri mempunyai hasil kajian yang menarik.

Wan Saiful yang diberi peluang membaca kajian yang dilakukan di Johor tetapi tidak didedahkan kepada orang awam berkata, kajian itu mendapati menteri besar meraih undi sokongan 70% sementara kerajaan negeri pula meraih hampir 80%.

“Jadi kerajaan negeri Umno sangat popular. Tetapi dalam isu Persekutuan, soalan tentang betapa popularnya Najib dan Umno di peringkat nasional, Najib jatuh (undi sokongan) hampir 30%. Umno apabila dinilai pada peringkat nasional pula jatuh (undi sokongan) kepada 30-40%.

“Jadi situasi di Johor adalah apabila ditanya, rakyat gembira dengan kerajaan negeri tetapi tidak gembira dengan kerajaan persekutuan.

“Bagaimana anda hendak jangka keputusan pilihan raya bila kita ada situasi sebegini? Johor tak pernah alami pecah undi. Mereka tak pernah undi satu untuk negeri, satu yang lain untuk persekutuan. Tetapi kali ini perbezaan itu signifikan,” kata Wan Saiful di forum IDEAS Café bertajuk “GE14: Is Umno in trouble” pagi hari ini.

Katanya negeri seperti Melaka juga mempunyai kemarahan signifikan kepada Umno dan BN di peringkat nasional tetapi tidak di peringkat negeri.

“Di Terengganu, PAS kuat, jadi dinamik itu berbeza. Apabila anda pergi ke Kedah, ia juga tidak menentu.

“ Anda nilai negeri demi negeri, apa yang anda akan temui adalah walaupun Putrajaya nampak selamat untuk Umno, gambaran di setiap negeri berbeza.

“Jadi saya tertanya-tanya sama ada kita sebenarnya melihat 2008 akan berlaku lagi,” kata Wan Saiful yang kini merupakan felo kanan di ISEAS- Yusof Ishak Institute di Singapura.

 Pada Pilihan Raya Umum 2008, BN menang di peringkat persekutuan tetapi kalah di lima buah negeri- Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor.

“Adakah Umno dalam masalah? Umno di peringkat nasional mungkin tidak ada masalah. Umno di banyak negeri juga mungkin tidak ada masalah. Tetapi kejadian yang berlaku pada 2008 ketika Pak Lah (Abdullah Ahmad Badawi) hilang lima negeri, dia dipaksa turun. Najib adalah antara orang yang memaksanya turut. Najib juga penerima manfaat utama dalam pergelutan kuasa dalam Umno. Sudah tentu Dr Mahathir juga memainkan peranannya.

“Salah satu hujah utama yang dikeluarkan adalah, ya kita menang di Putrajaya tetapi anda hilang lima negeri. Jadi cabaran sekarang bukanlah tentang Umno sangat tetapi tentang Najib kerana dia yang mulakan semua itu. Jika anda hilang negeri, anda perlu berundur (letak jawatan).

“Jika dia hilang misalnya Kedah, Perak. Melaka pun nampak goyang. Bencana kalau Johor pun hilang. Apa yang akan jadi pada dia?

“ Saya mahu buat kesimpulan dengan mengatakan situasi untuk Umno di Malaysia secara keseluruhannya mungkin masih ok kalau anda nilai negeri demi negeri, kebimbangan lebih tentang Najib berbanding Umno. Saya betul-betul tertanya-tanya berapa lama lagi Najib boleh bertahan sekiranya dia kalah satu lagi negeri kepada pakatan pembangkang,” kata Wan Saiful. – 21 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • kalu camtu najib can boleh belajar dpd ayahanda mat kelamin

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan