DAKWAAN kononnya Low Taek Jho atau Jho Low, 38, kini menetap di Emiriah Arab Bersatu (UAE) satu pembohongan dan dongeng, kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.
Katanya, tidak masuk akal seseorang yang diburu seperti Jho Low boleh keluar dari tempat persembunyiannya dan pergi ke negara lain.
Menurut Hamid, dakwaan itu seolah-olah menggambarkan UAE tidak mempunyai kawalan keselamatan yang ketat sehingga penjenayah yang diburu pihak berkuasa antarabangsa boleh bolos begitu sahaja.
“Kami sentiasa bekerjasama dengan polis UAE, justeru dakwaan itu adalah mustahil. Saya tahu dia masih ada di sana (tempat persembunyian) tetapi ada pihak yang melindunginya secara rasmi.
“Saya tidak akan berhenti memburunya, jika dia (Jho Low) rasakan dia bukan penjenayah dan dianiayai, baliklah… saya akan pastikan dia akan diberi layanan seperti yang diperuntukkan oleh undang-undang,” katanya.
Hamid berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara Peringkat Kontinjen Pahang, di Jerantut, hari ini.
Semalam, The Malaysian Insight memetik The Straits Times di Singapura melaporkan Low menetap di UAE dan mendapatkan perlindungan suaka di sebuah negara lain.
Laporan itu muncul bersama berita Low menyelesaikan kesnya dengan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) melibatkan serahan harta hampir AS$1 bilion.
“Beliau ditawarkan suaka kerana tindakan Malaysia yang dianggap politik serta pencabulan hak asasi manusia terhadap nya,” kata satu sumber perundangan.
Peguam Low mengesahkan suaka itu tetapi enggan mendedahkan butiran lanjut mengenainya.
Jurucakapnya berkata Low kini berada di UAE dan bergerak antara Kuwait, Arab Saudi dan negara lain di Asia Barat yang “beliau ada hubungan erat dengan anggota keluarga diraja” serta Eropah sejak Jun lalu.
“Beliau dilindungi di bawah undang-undang antarabangsa, sama seperti hujah Malaysia bahawa Zakir Naik tidak akan diusir ke India kerana tidak akan dapat perbicaraan adil,” tambah seorang lagi sumber perundangan.
Dalam sidang medianya hari ini, Hamid menegaskan pihaknya masih akan terus menjejak Low dan membawanya pulang untuk dihadapkan ke pengadilan.
“Saya tidak tahu siapa yang originated (mulakan) cerita ini dan saya berminat untuk berjumpa dengan orang ini.
“Saya ingin katakan kita tahu keberadaan Jho Low tetapi ada pihak yang melindunginya… berikan saya sedikit masa.
“Saya tak akan menghentikan usaha menjejak dan membawa balik penjenayah ini.
“Jika dia bukan penjenayah atau dianiayai, tak perlu takut dan sila balik. Saya beri jaminan dia akan mendapat layanan mengikut undang-undang,” katanya.
Jelas Hamid, usaha Polis Di-Raja Malaysia memburu Low masih dilakukan secara kerjasama dengan pihak polis di negara lain serta mendapat kerjasama pelbagai pihak termasuk Biro Siasatan Persekutuan (FBI).
Beliau juga mengulangi ketegasan sebelum ini akan membawa Low balik sebelum akhir tahun ini.
“Jika gagal, saya akan akui perkara itu serta penjelasan mengapa saya gagal.
“Tapi (jika itu berlaku) ia bukan disebabkan saya kurang berusaha,” katanya. – 1 November, 2019.
Komen