LOW Taek Jho atau Jho Low kini menetap di Emiriah Arab Bersatu dan mendapat perlindungan suaka di sebuah negara lain, kata sumber perundangan, ketika muncul berita beliau menyelesaikan kesnya dengan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ).
The Straits Times di Singapura dan sumber lain mengesahkan ahli perniagaan yang menjadi tokoh utama dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu ditawarkan suaka pada Ogos lalu di bawah Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat serta Konvensyen Hak Asasi Manusia Eropah.
“Beliau ditawarkan suaka kerana tindakan Malaysia yang dianggap politik serta pencabulan hak asasi manusia terhadapnya,” kata satu sumber perundangan.
Peguam Low mengesahkan suaka itu tetapi enggan mendedahkan butiran lanjut mengenainya.
Jurucakapnya berkata Low kini berada di UAE dan bergerak antara Kuwait, Arab Saudi dan negara lain di Asia Barat yang “beliau ada hubungan erat dengan anggota keluarga diraja” serta Eropah sejak Jun lalu.
“Beliau dilindungi di bawah undang-undang antarabangsa, sama seperti hujah Malaysia bahawa Zakir Naik tidak akan diusir ke India kerana tidak akan dapat perbicaraan adil,” tambah seorang lagi sumber perundangan.
Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador bulan lalu berkata Malaysia tahu di mana Low berada. Katanya, pihak polis berusaha untuk mendapatkan ekstradisi terhadapnya menjelang akhir tahun ini untuk membantu penyiasatan ke atas skandal 1MDB.
Polis belum mengeluarkan kenyataan balas terhadap laporan berita mengenai penyelesaian kes antara DoJ dan Low, yang menjadi asas tindakan terhadap beliau termasuk rampasan kapal pesiar Equanimity.
Dalam penyelesaian di mahkamah di California itu, Low memulangkan lebih kurang aset bernilai AS$1 bilion yang tidak membawa maksud pengakuan salah atau tanggungjawab.
“Saya dengan sukacita mengesahkan bahawa satu penyelesaian menyeluruh dan global telah dicapai dengan kerajaan Amerika Syarikat,” kata Low dalam satu kenyataan melalui emel.
Katanya, penyelesaian itu adalah hasil siri perjanjian yang dirundingkan dengan (DoJ) dan hasil perbincangan tulus antara kedua-dua belah pihak. – 31 Oktober, 2019.
Komen