Malaysia akan tingkatkan tekanan bawa balik Jho Low, kata KPN


Mohd Farhan Darwis

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata pihak tahu di negara mana Jho Low bersembunyi dan sedang berusaha untuk mendapatkan kata putus sebelum akhir tahun ini untuk membawanya pulang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 September, 2019.

MALAYSIA akan meningkatkan tekanan dalam rundingannya dengan negara tempat ahli perniagaan yang diburu Low Taek Jho atau Jho Low bersembunyi, kata Ketua Polis Negara (KPN) Abdul Hamid Bador.

Katanya, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) tahu di negara mana Jho Low bersembunyi dan sedang berusaha untuk mendapatkan kata putus sebelum akhir tahun ini untuk membawa beliau pulang dan diadili di mahkamah.

“Saya tidak ada tempoh masa, nanti saya seolah berjanji. Dia (Jho Low) ini pun sudah menghilangkan diri bertahun lama… tapi sebelum hujung tahun ini akan dapatkan keputusan. Saya yakin boleh bawa dia balik.

“Sudah saya tingkatkan tempo tekanan supaya mereka akhirnya akur.

“Saya tak boleh sebut negara itu kerana masih dalam rundingan,” kata Hamid, ketika diwawancara dalam program Bicara Minda anjuran Sinar Harian di Shah Alam, hari ini.

Hamid diwawancara oleh tokoh wartawan Johan Jaaffar.

Menurut Hamid, Jho Low dan konconya seolah-olah boleh bergerak dan menjalankan perniagaannya secara bebas di negara tersebut, yang katanya mempunyai perjanjian ekstradisi dengan Malaysia.

“Saya yakin daripada siasatan saya selama ini, dia seolah-olah mendapat perlindungan satu pihak untuk bersembunyi di satu negara. 

“Di situ dia bebas bergerak, seolah-olah dia jalankan perniagaan tanpa sekatan,” katanya.

Hamid turut mengakui Jho Low adalah seorang lelaki yang licik dan melakukan jenayah komersil yang terbesar.

“Ini manusia paling dikehendaki di negara kita. Sungguh licik dan mempunyai agenda sungguh jahat, daripada mula gunakan wang untuk beli pengaruh, merasuah orang sana sini. 

“Begitu juga dengan beberapa orang konconya….ada empat ke lima orang,” kata Hamid.

Pihaknya turut menegaskan semasa rundingan dengan negara berkenaan, Jho Low dikehendaki bukan atas dasar politik sebaliknya jenayah komersil yang dilakukannya.

“Saya sedang berikan beberapa pandangan tegas kepada pihak yang melindungi, soal Jho Low tiada kaitan dengan politik. Ia soal jenayah. 

“Jenayah komersil yang terbesar di dunia klau ikut standard Amerika,” kata Hamid.

Dalam sidang medianya, Hamid berkata terdapat pelbagai kaedah dan saluran yang boleh digunakan untuk membawa pulang Jho Low ke negara ini.

“Sama ada ekstradisi, libatkan mahkamah yang akan makan masa lama, kita ada saluran polis dengan polis, atau kerajaan dengan kerajaan.

“Kita boleh juga menggunakan ‘Mutual Legal Assistance Treaty’ (MLAT), atau saluran Imigresen,” katanya. – 25 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen