Tunggakan gaji kakitangan Utusan selepas selesai hutang bercagar


Mohd Farhan Darwis

Kakitangan Utusan diminta hadir ke ibu pejabat akhbar berkenaan pada 6 November depan untuk mengundi sama ada mahu meneruskan khidmat mereka atau melantik pelikuidasi tetap yang lain.– Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Oktober, 2019.

UTUSAN Melayu Malaysia Berhad akan membayar pampasan dan tunggakan gaji lebih 800 kakitangannya hanya selepas ia menyelesaikan hutang bercagar syarikat, kata firma pelikuidasi sementaranya.

Jurucakap UHY Advisory (KL) Sdn Bhd Zulkarnain A Rahim berkata keutamaan pihaknya sekarang ialah memastikan hutang bercagar Utusan diselesaikan terlebih dahulu dengan bakinya akan digunakan untuk membayar tunggakan gaji dan pampasan kakitangan syarikat itu.

“Namun begitu, sekiranya liabiliti syarikat melebihi jumlah aset, tiada pembayaran yang boleh diagihkan kepada pekerja dan pemiutang tidak bercagar syarikat,” katanya dalam taklimat kepada kakitangan Utusan di ibu pejabat syarikat itu di Kuala Lumpur, hari ini.

Utusan terhutang kepada lebih 800 kakitangannya yang hilang pekerjaan mulai esok tunggakan gaji Ogos, September dan Oktober serta pampasan pemberhentian.

Kakitangan Utusan yang mengambil skim pemisahan sukarela (VSS) pada November 2018 pula hanya akan menerima bayaran selepas syarikat melangsaikan pembayaran kakitangan yang diberhentikan.

Taklimat hari ini diadakan tiga minggu selepas Utusan mengumumkan syarikat gulung tikar dan menghentikan operasi serta merta berkuatkuasa 9 Oktober lalu.

Perkhidmatan lebih 800 kakitangannya ditamatkan selepas 31 Oktober, esok.

Firma pelikuidasi dalam pada itu turut menjelaskan semua tuntutan hutang, pampasan dan gaji tertunggak hanya boleh dibuat selepas aset-aset milik Utusan dijual.

Zulkarnain menjelaskan, tender terbuka akan dilaksanakan untuk tujuan berkenaan dan akan mengambil masa sekurang-kurangnya lima bulan.

“Apa yang kita jual akan kita maksimumkan. Kita cuba tender yang paling tinggi untuk dapat membayar kembali hutang syarikat,” katanya.

Menurutnya, proses periklanan tender akan dilaksanakan dalam tempoh 21 hari di akhbar tempatan dan bidaan akan dipilih berdasarkan beberapa syarat termasuk penilaian penilaian bidaa tertinggi.

UHY Advisory juga menjelaskan mereka tidak dapat melaksanakan sebarang langkah tersebut kerana mereka merupakan pelikuidasi sementara.

Kakitangan Utusan juga diminta hadir ke ibu pejabat akhbar berkenaan pada 6 November ini untuk mengundi sama ada mahu meneruskan khidmat mereka atau melantik pelikuidasi tetap yang lain.

Sementara itu, Pengerusi Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJ) Cawangan Utusan Melayu Mohd Taufek Razak berkata, taklimat hari ini mengecewakan kerana tiada keputusan yang dicapai.

Lebih malang lagi katanya, bekas Pengarah Eksekutif Utusan Melayu Wahid Idris yang bertindak selaku wakil pihak pengurusan Utusan menjelaskan liabiliti Utusan melebihi nilai aset syarikat.

“Kita difahamkan hutang kita ada RM400 juta, manakala aset hanya ada sekitar RM350 juta.

“Itu yang paling membimbangkan pekerja, sebab kalau itu benar-benar berlaku, maknanya kami tidak akan menerima apa-apa pampasan,” kata Taufek, kepada pemberita, selepas selesai taklimat.

Beliau berkata, sehubungan itu NUJ akan menyiasat perkara tersebut dan akan melantik peguam pemerhati sebagai proksi bagi pihak kesatuan bagi melihat sebarang prosedur jualan aset.

Dianggarkan kira-kira 1,500 bekas kakitangan syarikat akhbar itu dari seluruh negara hadir bagi mendengar taklimat yang bermula pukul 3 petang dan tamat kira-kira tiga jam kemudian.

Mereka yang hadir diminta mengisi dokumen tuntutan baki pendapatan tertunggak, pampasan pemberhentian, dan tuntutan pelbagai yang lain seawal pukul 10 pagi tadi.

Selain menghadiri taklimat, badan kebajikan kakitangan Utusan menyediakan kaunter Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), dan Jobs Malaysia, yang menawarkan khidmat bantuan pengurusan kewangan dan mencari kerja kosong.

Pada 9 Oktober lalu, Pengerusi Eksekutif Utusan Abd Aziz Sheikh Fadzir mengumumkan syarikat akhbar yang menyambut ulang tahun ke-80 pada Julai lepas gulung tikar.

Langkah itu dibuat 11 bulan selepas hampir 800 yang lain menerima tawaran pemberhentian sukarela (VSS) untuk mengurangkan kos operasi syarikat.

“Langkah ini terpaksa diambil oleh kerana lembaga pengarah berpendapat syarikat tidak lagi solven untuk meneruskan perniagaan,” kata Aziz dalam pekeliling yang diedar kepada kakitangan Utusan tiga minggu lalu.

Keputusan itu diumumkan dua hari selepas Utusan melepaskan 70% pegangan sahamnya dalam Dilof Sdn Bhd kepada Aurora Mulia Sdn Bhd, syarikat yang dikaitkan dengan taikun Syed Mokhtar Albukhary.

Dilof adalah anak syarikat Utusan yang memegang hak penerbitan akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo sejak awal September lalu.

Pada tarikh sama 7 Oktober itu, nama Dilof ditukar kepada Media Mulia Sdn Bhd.

Dilof adalah asalnya syarikat milik Aziz yang diambil alih oleh Utusan pada akhir Ogos lalu.

Minggu lalu, Kementerian Sumber Manusia mengingatkan Utusan agar melunaskan semua pampasan dan gaji tertunggak kakitangannya termasuk pampasan VSS yang tidak dibayar sebelum ini. – 30 Oktober, 2019.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen