NUJ tak berhak kait nasib Utusan dengan kawalan Umno, kata Annuar Musa


Diyana Ibrahim Ravin Palanisamy Lee Chi Leong

Setiausaha Agung Umno Annuar Musa berkata NUJ tidak berhak kaitkan nasib Utusan Melayu dengan kawalan parti berkenaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Oktober, 2019.

UMNO menolak kenyataan Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) yang mengaitkan nasib malang menimpa Utusan Melayu dengan kawalan parti berkenaan ke atas syarikat akhbar tersebut.

Setiausaha Agung Umno Annuar Musa berkata NUJ tidak berhak membuat pandangan tersebut kerana ia tidak mewakili Utusan.

Beliau juga berkata kesatuan wartawan itu hanyalah sebuah NGO semata-mata yang tidak terlibat dengan pengurusan Utusan.

“NUJ tidak ada kuasa untuk buat kesimpulan begitu. NUJ cuma NGO di luar pengurusan Utusan.

“Sepatutnya yang ada kuasa untuk cakap hanyalah ahli lembaga pengarah Utusan. Saya fikir kenyataan NUJ hanyalah pandangan mereka saja,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi NUJ Cawangan Utusan Mohd Taufek Razak berkata yang mengaitkan penutupan akhbar itu penguasaan Umno ke atas akhbar berkenaan.

Katanya,kebergantungan akhbar itu kepada parti politik juga merupakan petanda buruk.

Annuar seterusnya mendakwa tindakan syarikat Utusan Melayu (M) Bhd menutup Utusan didalangi pihak tertentu yang mahu akhbar itu berkubur.

“Saya rasa mudah saja jika ada pihak yang nak bunuh jadi mangsanya adalah Utusan. Kalau ada pihak yang nak dia (Utusan) hidup, maka hiduplah dia,” katanya.

Syarikat penerbit akhbar tersebut gulung tikar dan memberhentikan kira-kira 800 kakitangannya berkuat kuasa hujung bulan ini.

Berita penggulungan syarikat ini muncul sehari selepas Utusan membuat pengumuman melepaskan 70% pegangan dalam anak syarikatnya Dilof Sdn Bhd.

Pegangan itu dilepaskan kepada Aurora Mulia Sdn Bhd, syarikat yang dikaitkan dengan taikun Syed Mokhtar Albukhary.

Dilof memegang permit menerbitkan Utusan Malaysia dan Kosmo serta edisi mingguannya sejak awal bulan lepas. – 10 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen