DAP tunggu jawapan Ronnie Liu


Diyana Ibrahim Lee Chi Leong

Jawatankuasa Disiplin DAP sudah mengeluarkan tunjuk sebab kepada Adun Sungai Pelek Ronnie Liu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Oktober, 2019.

SURAT tunjuk sebab sudah dikeluarkan kepada Ronnie Liu kerana kenyataan kontroversinya mengkritik Dr Mahathir Mohamad dan Bersatu, kata Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP, Chong Chieng Jen.

Kata Chong, pihaknya masih menunggu jawapan daripada ahli jawatankuasa pusat DAP itu yang juga setiausaha DAP Selangor.

Liu yang juga Adun Sungai Pelek diberi masa untuk menjawab surat itu, katanya, tanpa menjelas tempoh itu.

“Surat tunjuk sebab sudah diberi dan kita masih menunggu balasannya.

“Tempoh balas memang ada tapi saya tak nak bincang pasal ini,” katanya kepada wartawan di lobi Parlimen.

Chong mendedahkan perkara itu selepas ditanya perkembangan tindakan DAP ke atas Liu susulan kenyataan kontroversinya minggu lalu.

Jelas Chong, Liu masih belum dipanggil kerana peringkat itu hanya tiba selepas beliau membalas surat tunjuk sebab yang dikeluarkan ke atasnya dahulu.

“Saya fikir kita ikut  saja proses. Prosesnya adalah surat tunjuk sebab dan selepas itu kita akan buat keputusan,” katanya.

Liu dirujuk kepada jawatankuasa disiplin parti oleh Setiausaha DAP Anthony Loke selepas Adun Sungai Pelek itu menulis satu rencana bertajuk Mahathir: Harimau Kertas.

Dalam tulisannya beliau mengkritik beberapa keputusan kerajaan pimpinan Dr Mahathir yang beliau dakwa bertentangan dengan agenda pembaharuan Pakatan Harapan (PH).

Liu juga berkata PH boleh kekal jadi kerajaan persekutuan tanpa sokongan Bersatu, pimpinan Dr Mahathir.

Selepas dikecam secara terbuka oleh beberapa pemimpin Bersatu, Liu mempertahankan kebebasan beliau mengemukakan pandangan dan menegaskan sedia berdepan tindakan parti. – 29 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen