Calon BN di Tg Piai orang muda, kata Ismail Sabri


Diyana Ibrahim Lee Chi Leong

Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob tidak pasti bila BN akan mengumumkan calonnya kerana perkara itu diputuskan oleh Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi BN Johor Hasni Mohammad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Oktober, 2019.

NAIB Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob membayangkan Barisan Nasional (BN) akan menamakan calon lebih muda bertanding Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai selepas Pakatan Harapan (PH) mengumumkan calon berumur 66 tahun.

Beliau bagaimanapun tidak pasti bila BN akan mengumumkan calonnya kerana perkara itu diputuskan oleh Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi BN Johor Hasni Mohammad.

“Lebih muda dan ia sangat subjektif. Lebih muda daripada calon PH… orang muda,” katanya kepada wartawan di lobi Parlimen.

PH semalam mengumumkan Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai Karmaine Sardini sebagai calonnya.

“Saya tidak mahu cakap kita seolah-olah menghina dia tapi orang yang sudah berumur 66 tahun, maknanya tidak seperti yang dijangka. Apa yang boleh dia buat. 

“Kalau kita tanya, dia kata 95 tahun pun boleh jadi perdana menteri,” kata Ismail, mengulas pengumuman itu.

Semalam, Hasni mendakwa BN berjaya memperdayakan PH sehingga parti itu mengumumkan calonnya lebih awal.

Katanya, BN membatalkan pengumuman calonnya semalam kononnya sebagai strategi parti untuk mengelirukan PH.

Beberapa penyokong PH kemudian mendakwa BN terpaksa membatalkan pengumuman yang dirancang semalam kerana belum ada kata sepakat antara MCA dan Umno.

Umno menuntut bertanding dengan dakwaan Tanjung Piai kini kawasan majoriti Melayu walaupun ditandingi oleh MCA sejak kerusi itu diwujudkan pada 2003.

Ditanya mengenai hal itu, Ismail menolak dakwaan BN belum mencapai kata putus mengenai calonnya.

Katanya, itu bukan isu sebaliknya yang menjadi isu sekarang ialah PH meletakkan calon berumur, yang bertentangan dengan semangat semangat Malaysia Baharu yang memberi ruang kepada orang muda.

“Calon yang diumumkan sudah berumur dan kita bercakap soal Malaysia Baru perlu beri ruang kepada golongan muda untuk bergerak lebih jauh dan bawa parti dengan lebih jauh. 

“Ia bertentangan dengan apa yang kita anggap. 

“Kita ingat mereka nak letak calon muda seperti yang disebut seorang juruterbang, orang muda tiba-tiba mereka letak orang yang sudah pencen,” katanya.

Setiausaha Agung MCA Choong Sin Woon juga dalam satu kenyataan menjelaskan BN belum menetapkan calonnya lagi.

Bekas komponen BN, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) hari ini turut menamakan Timbalan Setiausaha Agungnya Wendy Subramaniam, 38, sebagai calon di Tanjung Piai.

PRK Tanjung Piai diadakan susulan kematian penyandangnya, Dr Md Farid Md Rafik yang juga timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri kerana masalah jantung pada 21 September lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon pada Sabtu ini manakala pengundian pada 16 November. – 29 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen