BARISAN Nasional (BN) masih belum memutuskan calon Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai walaupun melancarkan jentera pilihan raya semalam.
Dalam satu kenyataan, Setiausaha Agung MCA Chong Sin Woon berkata majlis semalam hanyalah untuk pelancaran jentera seperti mana dinyatakan dalam surat BN kepada semua parti komponen.
“MCA tidak berasa hairan kerana BN belum mengadakan mesyuarat Dewan Tertinggi BN, dan mengikut konvensyen BN, calon BN mesti diputuskan dalam mesyuarat tersebut.
“Tidak ada kuasa pada mana-mana parti komponen atau individu boleh mengumumkan calon BN sebelum keputusan dilakukan oleh Dewan Tertinggi BN,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.
Tambahnya, MCA yakin mesyuarat akan diadakan dalam masa terdekat dan keputusan mengenainya akan memberi manfaat kepada semua pihak dalam pakatan pembangkang.
Kenyataan Chong itu keluar selepas Pengerusi BN Johor Hasni Mohamad berkata pembatalan pengumuman calon itu dibatalkan adalah strategi supaya Pakatan Harapan mendedahkan calonnya dahulu.
“Dia kata hendak umum calon pada 30 Oktober tetapi bila dengar kita hendak umum calon 28 Oktober jam 4 petang, dia umum dulu jam 2 petang.
“Jadi dia tertewas, kita tidak akan umum pada hari ini. Sebelah sana (PH) tertipu dengan kita.
“Kita kena bijak, kena ada strategi yang betul. Calon mereka 66 tahun. Saya harap kita jangan ada PRK lagi. Penat,” katanya semalam.
PH mengumumkan Ketua Bersatu Tanjung Piai Karmaine Sardini yang merupakan seorang ahli perniagaan dan imam sebagai calonnya.
PRK Tanjung Piai diadakan selepas kematian penyandangnya, Dr Md Farid Md Rafiq (Bersatu-PH).
Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi juga dilaporkan berkata yang Hasni diberikan mandat mengumumkan calon pada masa yang sesuai.
Tambahnya, keputusan tidak mengumumkan calon itu dibuat selepas perbincangan dengan Presiden MCA Wee Ka Siong.
“Calon ini juga anak tempatan tetapi Hasni arahkan saya jangan umumkan calon hari ini. Presiden MCA juga bisik dekat saya jangan umum dahulu.
“Saya sudah bincang dengan Wee, saya ingin mengumumkan bahawa kami memberi kuasa kepada Hasni untuk mengumumkannya dalam waktu yang paling sesuai.
“Mudah-mudahan beliau tidak mengambil masa yang terlalu lama,” katanya.
MCA mengharapkan BN menamakan Wee Jeck Seng sebagai calonnya dalam kawasan 42% pengundi Cina itu.
Pemimpin Umno bagaimanapun mendesak kerusi itu diberikan kepada calon Melayu.
PAS sudah menyatakan persetujuan tidak bertanding, seterusnya mengelak pertandingan tiga penjuru.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 2 November sebagai hari penamaan calon dan 16 November hari mengundi. – 29 Oktober, 2019.
Komen