Gerakan bertanding Tanjung Piai


Yeoh Cheong Ee

Timbalan Setiausaha Agung Gerakan Wendy Subramaniam akan bertanding di PRK Tanjung Piai. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 29 Oktober, 2019.

PARTI Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menamakan Timbalan Setiausaha Agungnya Wendy Subramaniam sebagai calon Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai, langkah yang diharapkan oleh parti itu bakal menandakan kemunculannya semula sebagai “kuasa ketiga” politik Malaysia.

Presiden Gerakan Dr Dominic Lau berkata penglibatan parti itu dalam pilihan raya kecil di Tanjung Piai memberi rakyat pilihan selain Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

“Kita hendak bagi peluang ketiga kepada rakyat. Dalam arena politik hari ini, PH sbg kerajaan tidak menunai janji, malah mereka sibuk rebut kuasa, jadi kita perlu sertai PRK Tanjung Piai,” katanya.

Beliau juga berkata Gerakan mahu jadi pilihan ketiga selepas BN tidak boleh diharapkan setelah Umno menjalin kerjasama politik dengan PAS, membentuk gabung Melayu-Islam yang kuat.

Ini adalah kali pertama Gerakan bertanding dalam pilihan raya kecil sejak meninggalkan BN pada akhir Jun 2018 selepas kalah Pilihan raya Umum ke-14.

Subramaniam bakal berdepan Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai Karmaine Sardini yang diumumkan oleh oleh PH semalam.

Semalam, semasa melancarkan bilik gerakan pilihan raya di Tanjung Piai, Lau berkata keputusan bertanding kali ini, selepas lapan PRK sejak PRU14, adalah langkah strategik partinya.

Katanya, Gerakan kini semakin mantap di bawah kepimpinan baharu dan sudah bersedia untuk muncul semula.

Beliau menyebut keyakinan Gerakan untuk mengulangi kegemilangan zaman awal penubuhannya pada akhir 1960-an dan memenangi Pulau Pinang dalam pilihan raya umum 19069.

Presiden Gerakan Dr Dominic Lau bersama calon PRK Tanjung Piai parti itu, Wendy Subramiam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 29 Oktober, 2019.

Subramaniam, 38, adalah juga naib ketua wanita Gerakan.

Peguam yang juga akauntan bertauliah itu lahir daripada perkahwinan campuran – ayahnya India, ibunya Cina – dan fasih berbahasa Mandarin.

PRK Tanjung Piai diadakan susulan kematian penyandangnya Dr Md Farid Md Rafik, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, kerana masalah jantung pada 21 September lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon pada Sabtu ini manakala pengundian pada 16 November. – 29 Oktober, 2019.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen