Siasatan ke atas tahanan LTTE selesai, kata polis


Alfian Z.M. Tahir

Penolong Pengarah Cawangan Khas Antikegananasan Bukit Aman Ayob Khan Mydin Pitchay berkata kertas siasatan telah dikemukakan kepada Peguam Negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Oktober, 2019.

SIASATAN ke atas 12 tahanan lelaki kerana didakwa mempromosikan kumpulan pengganas, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) telah selesai, kata polis hari ini. 

Siasatan itu juga telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya sama ada tindakan pendakwaan terhadap tahanan atau membebaskan mereka.

Penolong Pengarah Cawangan Khas Antikegananasan Bukit Aman Ayob Khan Mydin Pitchay berkata kertas siasatan telah dikemukakan kepada Peguam Negara.

“Tugas kami sudah selesai, kami telah selesaikan siasatan dan menyerahkan fail ke pejabat Peguam Negara.

“Terserah kepada Peguam Negara untuk mendakwa atau melepaskan semua 12 tahanan,” kata Ayob kepada pemberita di ibu pejabat polis Kuala Lumpur hari ini.

Keluarga tahanan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 berhubung LTTE itu dibenarkan untuk meraikan Deepavali bersama suami mereka di Balai Polis Kuala Lumpur.

Ayob berkata bahawa keluarga tahanan berhak untuk bertemu dan melawat tahanan, di samping turut membenarkan membawa makanan dan menghabiskan masa selama dua jam bersama mereka.

“Bukan hanya untuk mereka, ia adalah SOP (prosedur operasi standard) yang kita atur bagi lawatan perayaan agama.

“Mereka diberi rawatan yang mencukupi, dan setakat ini kesihatan mereka baik.”

Awal minggu ini, isteri kepada tiga orang tahanan mengadakan mogok lapar di luar ibu pejabat polis persekutuan di Bukit Aman, menuntut agar suami mereka dibebaskan sebelum Deepavali.

Bagaimanapun, mereka menghentikan bantahan itu petang semalam setelah menyedari bahawa suami mereka tidak akan dibebaskan dalam masa terdekat.

Pada 10 Oktober, Cawangan Khas Antikeganasan menahan tujuh suspek yang didakwa mempromosi, menyokong, dan menyalurkan dan memiliki bahan yang berkaitan dengan LTTE.

Dua daripada mereka adalah Adun DAP dari Melaka dan Negeri Sembilan.

Mereka ditahan di Selangor, Perak, Kedah, Negri Sembilan, Melaka dan Kuala Lumpur.

Dua hari kemudian, lima orang lelaki ditangkap atas tuduhan yang sama di Pulau Pinang, Melaka dan Selangor.

12 orang ditahan di bawah Sosma, yang membolehkan penahanan sehingga 28 hari tanpa pendakwaan.

Awal minggu ini, lima daripada 12 tahanan membuat permohonan habeas corpus di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mencabar penahanan mereka di bawah Sosma. Mahkamah menetapkan 31 Oktober untuk pendengaran kes.

Peguam Ramkarpal Singh, yang mewakili kelima-lima mereka, memberitahu pemberita bahawa beliau berharap permohonan itu didengar sebelum perayaan Deepavali.

Permohonan habeas corpus itu difailkan oleh G. Saminathan, P. Gunasekaran, Chandru Suparmaniam, Suresh Kumar Velayuthan dan Arivainthan Subramaniam.

Saminathan dan Gunasekaran adalah ahli Parlimen DAP.

Kelima-lima orang itu, dalam usul mereka, mengesahkan bahawa mereka bukan sebahagian daripada LTTE, dan menafikan cuba menghidupkan semula kumpulan pengganas.

Habeas corpus adalah satu tuntutan undang-undang bagi mereka yang ditahan untuk membela kes mereka di hadapan seorang hakim melainkan jika pihak berkuasa dapat membuktikan alasan yang sah untuk penangkapan mereka. – 27 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen