Ada apa dengan ‘cool’


Meor Yusof Aziddin

REMAJA dan anak muda hari ini kebanyakannya suka benda-benda yang nampak “cool” belaka. Apa yang cool dan apa yang tak cool?

Cool ini maknanya “sejuk” dalam bahasa Inggeris. Tapi untuk dunia anak muda hari ini, cool adalah sesuatu yang paling best dan rugged!

“Goodfellas” sebuah filem gengster yang paling cool sepanjang zaman dan kebanyakan filem gengster Melayu poyo belaka, begitulah lebih kurang makna dan perbandingannya.

Kita tengok anak muda sikat rambut belah tepi yang nampak “nerd” sambil membaca sajak jiwang, itu kita kata poyo atau kalau kita baca sajak Chairil Anwar kita akan kelihatan cool, begitu?

Jangan main-main dengan budak-budak sekarang, mereka punya tahap cool sampai boleh bunuh membunuh, sebab itu benda paling cool di atas segala yang cool.

Apa saja yang nampak cool, biasanya punya nilai komersial yang tinggi dalam kalangan anak-anak muda dan remaja hari ini. Itu sebab kalau kita tonton filem atau program realiti yang dihidangkan, terutamanya program dari Korea seperti Running Man, konsepnya rugged, santai dan bersahaja walaupun segalanya sudah ada dalam skrip belaka.

Kita lihat program anak-anak muda hari ini, kebanyakannya nampak rugged, rebel dan cool belaka. Kita tengok kebanyakan syarikat buku bebas hari ini, kebanyakan pengendalinya semua anak-anak muda belaka yang nampak cool.

Positifnya ada jiwa berniaga dalam diri mereka, sisi yang lain pula kita nampak istilah cool ini sudah menjadi barang dagangan yang perlu diniagakan jika mahu bikin untung.

Saya kenal seorang kawan yang selalu singgah di tempat busking saya di KL Sentral, kerjanya tukang masak profesional. Dia ni nampak “nerd”, bercermin mata macam mat belia yang poyo, tapi baik hati. Berulang alik dari rumah ke tempat kerja dengan menaiki tren komuter, begitulah rutinnya hari-hari.

Suatu hari dia meminta saya sebatang rokok untuk dihisap. Saya terkejut sebab selama ini saya fikir dia tak hisap rokok. Itu satu hal. Apabila dia mula cerita kisah silamnya yang pernah masuk mahkamah kerana kes dadah, pernah jadi “tokan” dan penagih, membuatkan saya lebih terkejut.

Dia hanya tersenyum sambil berkata dalam loghat Kedah: “Bukan hang saja yang terkejut, famili aku lagi tak percaya sampai sudah!”

Kumpulan muzik punk Sex Pistols berpecah sebab muzik mereka sudah menjadi sangat popular sampai ke seluruh dunia. Begitu juga dengan Kurt Cobain, legenda yang mewakili dunia anak yang rugged sepanjang zaman akhirnya membunuh diri lantaran gagal menangani tahap kemasyhuran yang dikecapinya.

Mereka pada asalnya nampak cool dan rugged dalam perjuangan dalam hidup dan falsafah cuma bila nilai hidup, falsafah dan perjuangan itu diniagakan atas nilai komersial, segala-galanya sudah tidak cool lagi.

Anak-anak muda hari ini suka benda yang rebel, baca buku yang rebel, tapi tak ada duit minta ibu bapa juga sudahnya.

Selagi kita hidup dan terikat dengan hukum hidup itu sendiri, tidak kira sama ada kita ini cool mahupun poyo, kiri mahupun kanan, kita tidaklah cool mana pun.

Bagi saya yang cool dan “sejuk” hanya orang gila saja. Mereka ini memang cool, makan hanya sekadar makan, tidur merata-rata, kadang-kala berbogel di khalayak ramai, punya keyakinan yang tinggi pada diri sehingga mereka merasakan dunia ini hanya milik mereka saja.

Kita yang normal ini? Kita hanyalah menggayakan makna dan istilah cool saja, pakai seluar jeans koyak tapi asyik membelek wajah di cermin agar selalu kelihatan cool selalu.

Apa yang cool kalau begitu? – 20 Oktober, 2017.

* Ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.

* Meor Yusof Aziddin ialah seorang pemuzik, penyanyi folk yang telah menghasilkan 10 album antara 2001 dan 2013, juga penulis buku bertema kehidupan.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen