Shafie Apdal ditahan SPRM


Jason Santos

Presiden Parti Warisan Sabah Shafie Apdal ditahan SPRM malam ini selepas memberi keterangan berkaitan penyelewengan dana awam RM1.5 bilion di Sabah. – Gambar The Malaysian Insight, 19 Oktober, 2017.

SHAFIE Apdal ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) malam ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyelewengan RM1.5 bilion dana persekutuan daripada kementerian yang pernah diterajuinya.

Penahanan presiden Parti Warisan Sabah itu disahkan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki.

Azam dalam mesej WhatsApp kepada kumpulan wartawan memberitahu yang SPRM akan memohon tahanan reman Shafie selepas solat Jumaat esok.

Bekas menteri kemajuan luar bandar dan wilayah itu ditahan selepas memberi keterangan hampir empat jam kepada SPRM di ibu pejabat agensi anti rasuah itu di Kota Kinabalu.

Shafie, yang akan menyambut hari jadinya yang ke-60 esok, dilihat masuk ke ibu pejabat SPRM itu lebih kurang pukul 5.20 petang tadi.

Shafie tiba diiringi peguamnya Martin Tommy dan Loretto Padua Jr. Turut sama ialah isterinya, Shuryani Shuaib serta Naib Presiden Warisan, Peter Anthony yang sebelum ini juga ditahan untuk siasatan yang sama.

Timbalan Presiden Warisan, Darell Leiking yang berada bersama Shafie semasa dia ditahan kemudian merayu kepada hampir 100 penyokong parti yang menunggu berita di perkarangan ibu pejabat SPRM di Jalan Sulaman, Kota Kinabalu supaya bertenang.

“Datuk (Shafie) minta saya untuk nasihatkan yang menunggu di sini supaya bertenang dan pulang ke rumah.

“Kita tunggu sampai esok apabila SPRM buat permohonan reman.

“Buat masa ini saya tidak pasti tetapi peguam akan ada di mahkamah awal esok pagi,” katanya kepada mereka yang berkumpul sejak 5 petang tadi.

Leiking juga memberitahu dia difahamkan Shafie akan dibawa ke Penjara Kapayan malam ini.

Siasatan SPRM ini menyentuh projek pembangunan luar bandar di Sabah antara tahun 2009 hingga 2015, ketika Shafie menerajui KKLW.

Shafie awal petang tadi tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dari Kuala Lumpur lebih kurang 3.45 petang.

Dia yang disambut lebih 100 penyokong kemudian terus ke rumahnya terlebih dahulu sebelum ke ibu pejabat SPRM.

Awal petang tadi, Shafie sekali lagi menegaskan beliau akan memberi kerjasama kepada agensi anti rasuah.

Katanya, ia adalah proses undang-undang yang biasa.

“Kita akan beri kerjasama kepada SPRM dalam siasatannya. Tetapi apa yang lebih penting ialah kita tidak menghalang mana-mana undang-undang. Mereka hanya jalankan tugas,” katanya kepada wartawan.

Kemungkinan Shafie juga bakal ditahan SPRM sudah lama dipertimbangkan banyak pihak, malah partinya, Warisan sudah membuat persediaan sekiranya perkara itu berlaku menyifatkannya sebagai “tindakan politik”.

Laporan media menyebut siasatan SPRM ini melibatkan 350 projek KKLW meliputi 170 projek bekalan air, 163 projek jalan raya dan 17 projek bekalan elektrik. Projek-projek berkenaan dilaksanakan di sembilan daerah di Sabah membabitkan kos keseluruhan RM7.5 bilion. Penyelewengan itu dikatakan melibatkan 60 buah syarikat dan dana awam mencecah RM1.5 bilion daripada peruntukan penuh persekutuan untuk Sabah.

SPRM sudah menyoal siasat 45 orang berkaitan skandal penyelewengan itu.

Antara yang ditahan ialah Naib Presiden Warisan Peter Anthony, Ketua Pemuda Warisan Azis Jamman, Ketua Pemuda Umno Tenom Jamawi Jaafar, Ketua Pemuda Umno Tawau Ariffin Kassim, seorang pegawai kanan kementerian, seorang ahli perniagaan, menantu adik lelaki Shafie dan dua orang adik lelakinya.

Setakat Khamis, salah seorang adik Shafie, Hamid Apdal sudah dibebaskan kerana masalah kesihatan tetapi seorang lagi adiknya Yusof Apdal masih dalam tahanan SPRM. – 19 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen