Shafie masuk pejabat SPRM untuk siasatan


Jason Santos

Shafie Apdal tiba di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Kota Kinabalu petang ini untuk diambil keterangannya berhubung siasatan dakwaan penyelewengan dana persekutuan bagi tujuan pembangunan infrastruktur di Sabah. – Gambar The Malaysian Insight, 19 Oktober, 2017.

SHAFIE Apdal tiba di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Kota Kinabalu petang ini untuk diambil keterangannya berhubung siasatan dakwaan penyelewengan dana persekutuan bagi tujuan pembangunan infrastruktur di Sabah.

Presiden Parti Warisan Sabah itu tiba pada pukul 5.20 petang dengan diiringi oleh peguam dan isteri.

Beliau sebelum itu sampai di Kota Kinabalu dari Kuala Lumpur, lebih kurang pukul 3.45 petang disambut lebih kurang 100 orang penyokong yang setia menunggu. Beberapa orang pegawai polis turut kelihatan di dewan ketibaan. Shafie kemudiannya menaiki kereta SUV ke rumahnya di Taman Golf View.

Sebelum meninggalkan rumahnya untuk ke pejabat SPRM, Shafie sekali lagi menegaskan beliau akan memberi kerjasama kepada agensi anti rasuah itu dalam siasatan bersabit dakwaan penyelewengan RM1.5 bilion dana persekutuan semasa beliau menjadi menteri kemajuan luar bandar dan wilayah antara 2009 hingga 2015.

Katanya, ia adalah proses undang-undang yang biasa.

“Kita akan beri kerjasama kepada SPRM dalam siasatannya. Tetapi apa yang lebih penting ialah kita tidak menghalang mana-mana undang-undang. Mereka hanya jalankan tugas,” katanya kepada wartawan sebelum meninggalkan rumahnya untuk ke pejabat SPRM.

Shafie bagaimanapun mengulangi dakwaannya sebelum ini bahawa seluruh penyiasatan ini bermotifkan politik.

“Keputusan sudah dibuat. Pilihan raya sudah dekat,” katanya. Beliau sepanjang masa itu tersenyum dan nampak tenang.

Shafie turut merakamkan kesedihan atas penangkapan dua adiknya, Hamid dan Yusof, dan menyifatkan tindakan melibatkan mereka sebagai keterlaluan.

Bagaimanapun, Hamid dan menantu lelakinya, Manzur Hussein Awal Khan sudah dibebaskan pagi tadi atas jaminan SPRM kerana masalah kesihatan yang dihidapi mereka. Seorang lagi adik Shafie, Yusof Apdal pula masih dalam tahanan reman SPRM selama empat hari sejak Rabu. 

“Selaku abang, saya merasakan mereka sudah melampau..apa sahajapun mereka ada cara dan jalan (untuk kenakan saya),” kata Shafie tetapi turut menambah yang SPRM akan menjalankan tugas mereka dengan adil.

Hampir 100 penyokong parti berada di rumahnya menanti untuk mengiringi Shafie ke pejabat SPRM yang dijadualkan beliau akan muncul sekitar jam 5 petang.

Timbalan Presiden, Darell Leiking, Naib Presiden Peter Anthony serta ketua Pemuda Warisan Azis Jamman juga menunggu Shafie di rumahnya.

Shafie tiba di pejabat SPRM sekitar jam 5.20 petang dan disambut hampir 100 penyokongnya ketika beliau terus menuju masuk ke pejabat SPRM.

Beliau ditemani isterinya, anak, Setiausaha Agung Warisan, Lorreto Padua, Leiking, Azis dan penasihat undang-undang parti, Norazmi Alimat.

Penyokong yang menunggu Shafie di sekitar kawasan itu mengatakan mereka akan terus menunggu sehingga Shafie keluar dari pejabat SPRM atau pengesahan yang beliau turut akan ditahan malam ini. – 19 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen