Dana diseleweng di Sabah berjumlah RM1.5 bilion


Jason Santos

Penyelewengan itu dipercayai berlaku dalam tempoh enam tahun lalu, kata Timbalan Pesuruhjaya Operasi SPRM, Azam Baki.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan anggaran RM1.5 bilion dana kerajaan dipercayai telah diseleweng dari Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah untuk projek-projek di Sabah, melibatkan 60 buah syarikat yang mendapat kontrak daripada kementerian itu.

Penyelewengan itu dipercayai berlaku dalam tempoh enam tahun lalu, kata Timbalan Pesuruhjaya Operasi SPRM, Azam Baki.

Dana RM1.5 bilion itu merupakan sebahagian daripada peruntukan RM7.5 bilion bagi projek luar bandar melibatkan bekalan air dan elektrik, dan pembinaan jalan raya.

“Kami sedang menyiasat kemungkinan ada projek-projek berkenaan tidak sempurna dibuat atau mungkin tidak betul dibuat.

“Kami juga melihat terdapat unsur-unsur rasuah dalam kes ini. Kemungkinan kontraktor terlibat memberi rasuah kepada pihak-pihak tertentu,” katanya kepada pemberita di pejabat SPRM Sabah di Kota Kinabalu, hari ini.

“Kami belum mengaitkan kes ini dengan mana-mana individu tetapi kami akan panggil sesiapa juga untuk membantu siasatan, dan sekiranya ada yang disyaki terlibat dengan rasuah, kami akan tahan.”

SPRM sebelum ini mengumumkan menyita sejumlah RM180 juta dalam beberapa akaun bank yang dibekukan. 

Shafie Apdal yang juga Presiden Warisan hari ini menyifatkan siasatan SPRM ke atas kementerian yang beliau pernah jadi menterinya itu bermotifkan politik.

“Wallahi, wabillahi, wata’allahi, hari ini Jumaat. Syarikat itu bukan saya punya, duit itu bukan saya punya. 

“Jangan kata syarikat Sabah, businessmen Sabah tidak boleh buat duit. Adakah ini semua duit saya?” katanya kepada wartawan di Kota Kinabalu pagi ini, setibanya dari Kuala Lumpur.

Shafie, yang keluar Umno pada Julai 2015, juga berkata akan memberi kerjasama penuh sekiranya diperlukan untuk membantu siasatan.

Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi di Kuala Lumpur sebelum itu menafikan penahanan Peter dalam operasi anti rasuah terhadap Kementerian Pembangunan Luar Bandar di Sabah bermotifkan politik. – 6 Oktober, 2017.  


 
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen