Di Putrajaya, pegawai terpalit skandal jatuh lebih cepat


The Malaysian Insight

Pentadbiran Najib Razak tidak mampu mempunyai skandal lagi, apatah lagi yang berkaitan dengan ketua agensi pencegahan rasuahnya. Adakah Dzulkifli juga akan jadi mangsa skandal yang selama ini sudah banyak kali menghancurkan kerjaya ramai ahli politik dan penjawat awam lain? – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Oktober, 2017.

MASALAH dengan Malaysia ini ialah hanya sedikit saja dakwaan skandal seks, mungkin hanya tempias, sudah cukup untuk melengserkan seseorang daripada jawatannya. Tetapi kalau melibatkan soal wang, perlu bertimbun-timbun.

Tengoklah apa yang terjadi kepada bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat DP Vijandran pada 1988 dan dua dekad kemudian, Presiden MCA (ketika itu) Dr Chua Soi Lek. Jangka hayat kerjaya politik mereka terputus kerana pita rakaman seks.

Ada beberapa ahli politik lain juga yang tertangkap dengan seluar terlondeh sama ada didakwa mempunyai hubungan sulit atau rakaman hubungan seks.

Dakwaan sama kini menconteng nama Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dzulkifli Ahmad, yang muncul dalam beberapa klip video dan sebuah blog yang mendedahkan dengan terperinci dakwaan hubungan sulitnya serta membayangkan ada orang lebih berkuasa yang cuba menutup skandal ini.

Semakin hari dakwaan ini terpalit pada Dzulkifli, semakin rapuh kedudukannya sebagai ketua di SPRM.

Ada atau tidak siasatan polis dan kini pasukan khas, mood yang terasa di Putrajaya ialah Perdana Menteri Najib Razak tidak boleh mempunyai ketua agensi anti rasuah yang memberikannya masalah.

1Malaysia Development Berhad (1MDB) sudah jadi masalah kepada Najib sejak 2012, yang jadi bertompok-tompok dengan serangan hampir setiap hari oleh lawan politiknya termasuk Dr Mahathir Mohamad yang pernah jadi mentornya.

Dan sekarang, seorang penguatkuasa undang-undang kanan dikatakan terlibat dengan isteri orang yang dituduh oleh akhbar pro kerajaan sebagai permainan sindiket judi; seorang bekas pegawai anti rasuah pula menuduh dalangnya parti pembangkang.

Dzulkifli pada Selasa membuka mulut menjawab tuduhan skandal isteri orang itu dengan mengatakannya “taktik kotor” untuk mencemar nama baik. Beliau bagaimanapun tidak menafi dan tidak pula mengiyakan dakwaan skandal itu.

Masalah lagi bagi Dzulkifli ialah beliau tidak ada banyak kawan dalam Umno sejak mengambil alih tugas di SPRM pada Ogos 2016, terutamanya kecenderungan beliau menangkap “ikan jerung” yang menyeret panglima Umno Isa Samad dalam baju-T lokap SPRM bulan lepas.

Jadi beberapa orang pemimpin Umno dan dalam kerajaan yang cuba menyokong beliau sekarang pun tidak boleh buat apa-apa.

Ada orang kata ini masalah yang ditempanya sendiri. Ada juga yang percaya Najib mahu memastikan hanya pegawai yang paling bersih antara yang bersih boleh kekal dalam jawatan.

Bekas Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar yang baru bersara tidak disambung jawatannya selepas timbul dakwaan salah laku dalam pasukan polis semasa di bawah pengurusannya. Beberapa orang pegawai kanan kerajaan juga berdepan bergemulang masalah dengan kempen SPRM membanteras rasuah dan memastikan lumpur itu tidak terpalit pada kerajaan.

Sikap tegas ini sekarang mendesak mereka yang berpengaruh di Putrajaya untuk menghantar isyarat jelas kepada Dzulkifli bahawa tempias skandal pun sudah cukup membuatkan seseorang itu tertangkap basah, terutamanya kalau orang itu terlibat dalam usaha membanteras rasuah.

Pada akhirnya, Dzulkifli seorang kakitangan awam dan boleh dipindahkan, sama seperti ahli politik yang masih berguna walaupun ada kesalahan masa lampau seperti Muhammad Muhammad Taib yang baru-baru ini disambut dengan kompang walaupun sebelum ini keluar Umno dan mengutuk-ngutuknya. – 19 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen