Nurul Izzah jumpa Jacel Kiram satu pengkhianatan, kata Khalid


Bekas Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar menyifatkan perbuatan Nurul Izzah Anwar berjumpa Jacel Kiram, anak perempuan Jamalul Kiram III, adalah satu pengkhianatan.Beliau berkata demikian di Mahkamah Tinggi pada perbicaraan kes saman fitnah yang difailkan Nurul Izzah terhadap Khalid dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Ismail Sabri Yaakob atas dakwaan telah mengeluarkan perkataan-perkataan fitnah terhadapnya berhubung gambar pertemuannya dengan Jacel Kiram. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Oktober, 2017.

BEKAS Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar menyifatkan perbuatan Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berjumpa Jacel Kiram, anak perempuan Jamalul Kiram III, adalah satu pengkhianatan kerana wanita itu dianggap musuh negara.

Khalid berkata pengkhianatan merupakan suatu kesalahan serius yang dikategorikan sebagai kesalahan-kesalahan terhadap negara dan boleh disiasat di bawah Kanun Keseksaan.

“Saya menganggap perbuatan plaintif (Nurul Izzah)  tersebut sebagai ‘treason’ atau pengkhianatan kerana plaintif berjumpa dengan seorang individu, Jacel Kiram yang dianggap musuh negara secara khususnya berkaitan dengan pencerobohan di Sabah pada 2013,” katanya.

Beliau berkata demikian di Mahkamah Tinggi pada perbicaraan kes saman fitnah yang difailkan Nurul Izzah terhadap Khalid dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Ismail Sabri Yaakob atas dakwaan telah mengeluarkan perkataan-perkataan fitnah terhadapnya berhubung gambar pertemuannya dengan Jacel Kiram.

Menjawab soalan Peguam Kanan Persekutuan Normastura Ayub, Khalid dalam pernyataan saksinya berkata Jacel Kiram boleh dianggap musuh negara kerana wanita itu adalah jurucakap bagi kumpulan pengganas Kesultanan Sulu serta Tentera Diraja Sulu  (RSF) dan menjadi jentera utama atas semua tindakan RSF ke atas Sabah.

Beliau berkata Jacel Kiram sangat aktif dan agresif dalam mengeluarkan kenyataan dalam media sosial negara Filipina yang antara lain memburukkan Malaysia berhubung tangkapan kumpulan pengganas Kesultanan Sulu yang menceroboh di Lahad Datu serta mengecam Malaysia dan pasukan keselamatan berhubung isu tuntutan ke atas Sabah.

Katanya selain itu, Jacel Kiram adalah anak perempuan kepada Jamalul Kiram III, individu yang mengaku sebagai Sultan Sulu dan mendalangi pencerobohan di Lahad Datu bersama adiknya Datu Agbimuddin Kiram pada 2013.

“Pencerobohan tersebut telah menyebabkan berlakunya insiden tembak menembak yang mengorbankan beberapa anggota keselamatan Malaysia,” katanya.

Beliau juga berkata pertemuan Nurul Izzah itu juga telah menyentuh sensitiviti dan menyinggung perasaan negara ini secara khususnya ahli keluarga anggota polis dan pegawai keselamatan yang terkorban.

“Masyarakat Malaysia juga melihat perjumpaan tersebut sebagai perjumpaan dengan musuh negara dan seolah-olah plaintif menyokong pihak musuh yang mempunyai sejarah silam iaitu cubaan untuk menggugat kedaulatan negara,” katanya.

Khalid berkata kesan dan reaksi masyarakat awam pada masa itu dapat dilihat apabila  terdapat 100 laporan polis dibuat di seluruh negara yang membantah perjumpaan plaintif dengan Jacel Kiram.

Beliau berkata apabila perjumpaan plaintif (Nurul Izzah) dengan Jacel Kiram itu diketahui oleh masyarakat awam setelah didedahkan oleh Jacel Kiram sendiri, ia  mengingatkan semula masyarakat Malaysia kepada peristiwa pencerobohan yang menimbulkan keresahan, kebimbangan dan tidak puas hati.

Khalid menegaskan sebagai ketua polis negara ketika itu, beliau mengeluarkan kenyataan berkaitan perjumpaan berkenaan sebagai jawapan kepada wartawan mengenai situasi itu yang hangat diperkatakan dan menarik perhatian awam melibatkan isu ketenteraman awam.

“Saya sebagai ketua polis negara mempunyai tanggungjawab untuk menjelaskan bahawa pertemuan plaintif dengan Jacel Kiram berkemungkinan terjumlah kepada suatu kesalahan penderhakaan yang mana adalah dalam bidang kuasa pihak polis untuk menyiasat,” katanya.

Beliau berkata suatu siasatan telah dimulakan terhadap Nurul Izzah berkaitan kes itu mengikut Seksyen 124L Kanun Keseksaan iaitu cubaan untuk melakukan sabotaj.

Semasa pemeriksaan balas peguam R. Sivarasa yang mewakili Nurul Izzah, Khalid yang merupakan defendan dalam kes itu berkata berdasarkan gambar pertemuan itu, jelas menunjukkan pertemuan berkenaan telah dirancang dan bukannya secara kebetulan.

Beliau juga mengetahui mengenai perjumpaan itu melalui gambar yang dimuat turun oleh Jacel Kiram dalam laman Facebooknya dan juga laporan daripada pegawai-pegawainya.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Faizah Jamaludin bersambung Isnin.

Nurul Izzah yang juga ahli Parlimen Lembah Pantai memfailkan saman itu pada 26 November 2015 dengan mendakwa Khalid telah mengeluarkan perkataan-perkataan fitnah terhadapnya dalam satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis, Bukit Aman pada 22 November 2015.

Dalam pernyataan tuntutannya, beliau berkata perkataan fitnah itu dikeluarkan selepas beberapa hari gambar yang memaparkannya (Nurul Izzah) bersama Jacel Kiram, anak perempuan Jamalulail Kiram yang dikatakan mengarahkan atau mengetuai serangan dan pencerobohan ke atas Sabah, pada 2013.

Beliau juga mendakwa pada hari sama (22 November 21015), Ismail Sabri juga mengeluarkan perkataan-perkataan fitnah dalam sidang media pada satu majlis di Bera, Pahang yang dalam makna asal atau biasa, bermaksud beliau adalah seorang penderhaka kepada negara dan telah mengisytiharkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong. – Bernama, 19 Oktober, 2017.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen