Ribuan tunjuk perasaan gesa presiden Haiti undur


Ribuan orang berdemonstrasi semalam di Port-au-Prince, mendesak Presiden Haiti Jovenel Moise meletak jawatan. – Gambar EPA, 21 Oktober, 2019.

RIBUAN orang berdemonstrasi semalam di Port-au-Prince, mendesak Presiden Haiti Jovenel Moise meletak jawatan.

“Jovenel tidak mampu dan tidak cekap, dia perlu letak jawatan kerana Haiti perlu hidup,” kata salah seorang penunjuk perasaan, Jean Ronald.

“Tidak normal untuk hidup dalam negara yang tidak saksama seperti ini,” kata Ronald, berdiri di depan “Mackenson” terapung, seorang pemimpin keagamaan Haiti yang popular dan kontroversi.

Mackenson Dorilas yang mengakui dirinya nabi, disekat oleh kementerian agama di Haiti pada hujung 2018 selepas berkata beliau mampu memulihkan AIDS dengan penawar pepijat.

Pengikutnya memenuhi jalanan di ibu kota itu, diikuti dengan sekumpulan besar penunjuk perasaan, berdoa dan melaungkan slogan menentang presiden.

Selepas demonstrasi dan sekatan jalan raya berlangsung secara kerap, membantah presiden di seluruh jalan-jalan utama, banyak sekolah ditutup sejak lebih sebulan.

Sejak menyandang jawatan pada Februari 2017, Moise terpaksa berdepan kemarahan gerakan pembangkang yang enggan mengiktiraf kemenangannya pada pilihan raya di mana ramai melihatnya sebagai penipuan.

Kemarahan makin memuncak pada Ogos susulan kekurangan bekalan minyak di negara itu, dan protes bertukar menjadi ganas. – AFP, 21 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen