MIC beri bantuan guaman percuma pada 5 tahanan kes LTTE


Zaim Ibrahim

Pihak polis membuat tangkapan terhadap lima individu yang didakwa ada kaitan dengan LTTE. – Gambar PDRM, 18 Oktober, 2019.

LIMA suspek yang didakwa terlibat dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) mendapat bantuan guaman secara percuma daripada MIC.

Ketua Biro Guaman MIC, T Rajasekaran berkata, bantuan itu diberikan kerana mereka tidak mampu untuk membayar upah guaman.

Pasukan guaman seramai tujuh orang itu akan diketuai Kamarul Hisham Kamaruddin yang dilantik sendiri oleh Presiden MIC, SA Vigneswaran.

Rajasekaran berakta, lima tahanan itu diberi bantuan walaupun bukan ahli MIC demi menegakkan keadilan.

“Seramai tujuh peguam daripada Biro Guaman MIC akan bantu lima tahanan LTTE.

“Walaupun mereka tidak mampu membayar, kami bantu supaya mereka mendapat keadilan yang munasabah,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Beliau juga berkata, pihak polis memberi kelonggaran dengan membenarkan pasukan peguam dan ahli keluarga berjumpa tahanan.

“Setakat ini saya dah berjumpa tiga anak guam dan selebihnya dijangka dapat berjumpa akan datang,” tambah beliau.

Beliau juga kesemua anak guam berkenaan tidak dituduh di mahkamah mengikut undang-undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) yang menurutnya terlalu ketat.

“Saya harap jika didakwa sekalipun bukan di bawah Sosma. Sosma terlalu ketat, antaranya tidak boleh diikat jamin.

“Kami akan pertimbangkan untuk bebaskan termasuk dakwaan di bawah Sosma,” katanya.

Beliau juga menegaskan kesemua anak guamnya itu tidak terbabit dengan LTTE.

“Mereka tidak aktif dengan kegiatan LTTE. Mereka hanya ambil bahagian dalam upacara doa untuk mangsa yang terbunuh ketika perang saudara tahun 2009 (di Sri Lanka).

“Mereka sekadar menyatakan simpati kepada mangsa perang yang terbunuh dan tidak menyokong prinsip LTTE. Kali terakhir mereka sertai majlis itu pun sekitar tahun 2013 hingga 2014,” tambah beliau.

Seramai 12 individu ditahan minggu lalu termasuk dua anggota Adun DAP iaitu G Saminathan (Gadek) dan P Gunasekaran (Seremban Jaya).

Dua wakil rakyat DAP itu diwakil peguam daripada parti tersebut, Ramkarpal Singh and RSN Rayer.

Peguam berkenaan mengumumkan untuk memfailkan saman untuk mencabar keabsahan undang-undang penahanan tersebut.

Mereka juga akan menuntut hak memohon jaminan yang tidak dibenarkan bawah Sosma. Undang-undang itu memperuntukkan kuasa kepada polis menahan suspek selama 28 hari.

Kesemua suspek disyaki terbabit dalam menyokong dan menyalurkan dana untuk LTTE yang disenarai sebagai kumpulan pengganas di Malaysia sejak 2014. – 18 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen