Belajar dialog daripada Muhammad Abduh (Bahagian 2)


Mohd Syazreen Abdullah

Memurnikan tafsiran Islam - Tajdîd al-Fahm

MASALAH agama tidak hanya dibuktikan dengan keyakinan melainkan logika. Kadangkala sulit difahami akal, namun tidak bertentangan dengan akal. Malangnya hari ini, masalah agama difahami atas sikap umat Islam yang statik, taklid, bidaah, khurafat dan terlebih agama – anti dialog.

Kurikulum Pendidikan Islam kita gagal bukan kerana dualisme sains dan agama. Bukan melupakan kemajuan teknologi. Malah bukan akibat kegagalan sistem KBAT atau PAK21. 

Sebaliknya, kita gagal menghayati kebebasan dialog. Menurut Abduh, dialog adalah rasionalisme. Sebuah diskusi yang diadunkan nalar dan kebebasan. Dialog tanpa kebebasan adalah sia-sia. Begitu juga kebebasan tanpa nalar.  

Menurutnya, Kurikulum Pendidikan Islam di Azhar Mesir jadi mundur akibat tiadanya kebebasan dialog. Tanpa kebebasan. Tanpa rasionalisme. Hanya taklid. Mengakibatkan umat Islam tertinggal jauh 

Bukankah kemunduran Pendidikan Islam di Azhar suatu masa dahulu itu sebagai pengajaran kepada kita hari ini?

Maka, dalam reformasi Pendidikan Islam, Abduh telah menganjurkan untuk kembali kepada keluasan ajaran Islam sebenar – mengembalikan kemurnian tafsiran Islam atau Tajdîd al-Fahm.

Pendekatan Tajdîd al-Fahm terjadi dalam dialog kritis antara guru dan murid. Berikutan itu, pembelajaran dan pengajaran kurikulum Pendidikan Islam Tinggi hendaklah berpaksikan kefahaman yang kritis sekali gus menyuburkan kesedaran insani dalam jamak kehidupan budaya dan agama. Maka. 

Pelajar dilatih dalam dialog dengan mengembalikan kemurnian tafsiran Islam (Tajdîd al-Fahm) dari sumbernya Quran dan Hadis. Akhirnya dialog “Tajdîd al-Fahm” mengasak pelajar menitikberatkan nilai-nilai murni ajaran Islam yang sebenar seperti kemanusiaan, kebebasan, keadilan dan toleransi. Bahawa tradisi Islam yang terdapat dalam pesan-pesan kewahyuan sangat menekankan nilai-nilai murni tersebut dalam menguruskan kehidupan moden hari ini.

Rasionalisme dalam agama

Selain menekankan Tajdîd al-Fahm, salah satu ciri pemikiran Abduh dalam membangunkan pemikiran dialog adalah penekanan kepada rasionalisme dalam memahami agama. Abduh menganjurkan metode-metode rasionalis dalam kurikulum pembelajaran dan pengajaran Pendidikan Islam di samping kekuatan sains-sains modern. Beliau mahukan pintu ijtihad dibuka seluas-luasnya sehingga Islam seiring dengan tuntutan zaman. Tidak ada pemisahan antara agama dan sains. Kedua-duanya adalah sumber kebenaran.

Justeru, kekuatan yang ada pada Abduh berbanding pemikir lain adalah menghargai kekuatan akal dan tetap teguh memegang teks-teks agama sehingga mampu membentuk pembaharuan paradigma berfikir umat Islam. 

Menurut Abduh, jalan yang dipakai untuk kenal Tuhan bukanlah bergantung kepada wahyu semata-mata. Sebaliknya menggunakan akal. Sikap pentingnya mengenal Tuhan melalui kedudukan akal dan sains banyak diajukan olehnya dalam karyanya Risalah al-Tawhid dan al -Islam wa al-Nasraniyyah.

Melalui kekuatan akallah kaum Muslimin dapat membezakan yang benar dari yang salah. Menurutnya bahawa akal merupakan kunci pembaharuan iaitu: 

Tujuan dan kehendak untuk melakukan reformasi dalam agama, adalah untuk mengarahkan secara langsung kepercayaan atau iman umat Islam kepada agamanya. dengan mengarahkan langsung masyarakat kepada agamanya, akan menjadikan masyarakat itu lebih baik dan kedudukan sosial mereka dapat berubah. Meletakkan kembali kepercayaan Islam kepada kedudukan yang sebenarnya dan menghilangkan segala kesalahan yang biasa dilakukan. 

“Hal ini juga membawa akibat salah faham, tentang mengerti dan memahamkan teks-teks agama, dan keimanan umat islam dapat dipertahankan. Tindakan-tindakan dapat disesuaikan dengan akal, sebab akal itu menjadi pokok kehidupan Muslimin. Inlah bentuk kewajiban dari seorang mujaddid.”

Berikutan itu, Abduh konsisten menggabungkan ajaran sains dan kitab suci sebagai jalan memahami kandungan wahyu. Charles C. Adams (1929) mengatakan bahawa doktrin saintifik Abduh mengesahkan lagi bahawa tidak ada percanggahan antara iman dan akal. 

Jika terdapat percanggahan antara akal dan wahyu, bermakna ia terjadi dari kesalahtafsiran antara salah satunya. Jelas, bahawa Abduh berusaha mendamaikan antara akal, dan agama sekali gus rasionalisme tidak mengurangi idealisma agamanya dari kebenaran. 

Sehubungan itu, Abduh menekankan bahawa pentingnya meninggalkan beberapa sisi tafsiran Quran mengikut pandangan mufasir terdahulu bagi orang yang hendak menemukan tafsiran yang lebih segar dan realistik mengikut zaman. Kunci tafsiran mengikut zaman adalah membebaskan akal daripada teks. 

Bagi Abduh, Islam adalah agama yang rasional, agama yang sejalan dengan akal, bahkan agama didasarkan pada akal. Menurutnya, iman yang sejati diperolehi dengan dasar daripada rasionalisme. Justeru, dasar iman adalah keyakinan yang dipandu akal. Bukan pada pendapat seseorang.

Menurut Rasyid Rida, bahawa Abduh pernah menyebutkan tujuan Pendidikan Islam adalah bertujuan: “mendidik akal dan jiwa serta mengembangkannya hingga batas-batas yang memungkinkan anak didik mencapai kebahagiaan hidup dunia dan akhirat”. 

Jelas, beliau mahukan masyarakat yang maju dalam penghayatan dari segi agama dan saintifik

Kesilapan kita?

Namun, sebahagian pendidik khususnya Pendidikan Islam gagal dalam menghayati Tajdîd al-Fahm dan rasionalisme yang ditinggalkan oleh AbduhSebahagian kita sombong dengan kecetekan ilmu agama. Malah ada yang merasakan kebenaran dalam genggamannya. Lalu, pengetahuan sempit itulah dituangkan kepada anak didiknya. Kadangkala bersikap ego menyembah taklid dalam dirinya. Sepatutnya mereka menumpukan pendekatan humanis dalam Pembelajaran yang dialogis atas dasar kebebasan. Bangkul sampahkan segala sistem KBAT atau PAK21 yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, seandainya ruang kebebasan mahu dikawal seketat-ketatnya. 

Inilah dilema Pendidikan Islam semasa dalam abad teknologi. Pemikiran lapuk beragama tidak boleh diubah walau segala pendekatan moden diperkenalkan. Kerana ia agama yang telah mengalir dalam darah daging penganutnya. Kononnya hal suci yang tidak boleh dipertikaikan – kesakralan agama tidak boleh disangkal dalam arus globalisasi.

Maka pendekatan dua hala yang berpandukan kebebasan adalah sangat penting dalam hubungan pembelajaran dan pengajaran pada hari ini. Dan asasnya adalah kesediaan oleh guru tersebut dalam memaknai Tajdîd al-Fahm dan rasionalisme dalam meraikan kebebasan berfikir ketika proses dialog. Justeru, sikap manusiawi dapat tercetus dengan adanya hubungan kritis antara guru dan murid. 

Oleh kerana itu, guru Pendidikan Islam pada hari ini harus berani mendepani akal lalu berkemampuan menguruskan kebebasan dialog di dalam bilik kelas. Mereka harus berani menguruskan perbezaan pandangan. Sikap merendah diri terhadap budaya ilmu dan terbuka ini harus ada dalam diri pendidik.

Sebaliknya, “menguncikan kebebasan berfikir” bukan sahaja menghidupkan kejumudan, malah mematikan kemanusiaan – menjadi pelampau Islam.

Wahai para pendidik bangsa dan agama, fikirlah tentang ini! – 18 Oktober, 2019.

* Mohd Syazreen Abdullah adalah penulis buku Bercakap dengan Quran dan Membebaskan Allah Dari Islam. Beliau bekas penuntut pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan dan aktif menulis tentang isu-isu pemikiran agama dan budaya.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen