BEBERAPA isu menjejaskan sokongan bukan Melayu terhadap Pakatan Harapan, seterusnya menyukarkan tugas mengekalkan kerusi Parlimen Tanjung Piai, kata penganalisis.
Isu-isu seperti pengenalan khat Jawi di dalam sukatan mata pelajaran Bahasa Malaysia di sekolah vernakular, keengganan Putrajaya bertindak ke atas penceramah kontroversi Dr Zakir Naik serta faktor sosial ekonomi akan memberi kesan kepada sokongan bukan Melayu, kata mereka kepada The Malaysian Insight.
Pakar sains politik dari Universiti Sunway Dr Wong Chin Huat berkata Tanjung Piai boleh menjadi ulangan Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands apabila Barisan Nasional menang dengan majoriti selesa, selepas menang hanya majoriti tipis sebelum itu.
“Saya rasa kadar turun mengundi orang Cina (dan mungkin India) di PRK Tanjung Piai akan jadi sangat rendah, dengan kemungkinan beralih kepada BN.
“Tanjung Piai sangat serupa dengan Cameron Highlands (dalam aspek pecahan pengundi ikut kaum) dan dengan gabungan undi PAS dan Umno, kelebihan sebenarnya kepada pembangkang,” kata Wong.
Pada PRU14, Allahyarham Dr Md Farif Md Rafiq (Bersatu-PH) menewaskan Wee Jeck Seng (MCA-BN) yang merupakan penyandang kerusi itu selama dua penggal, dengan hanya undi tipis 524. Nordin Othman daripada PAS pula meraih 2,962 undi.
Gabungan undi calon PAS dan BN boleh menewaskan calon PH.
Kawasan itu mempunyai 53,528 pemilih, 57% daripadanya orang Melayu, 42% Cina dan selebihnya pengundi berbangsa India.

Pada PRK Cameron Highlands awal tahun ini, parti komponen BN, MIC memberi laluan kepada calon Orang Asli selepas kepimpinan pembangkang merasakan ia mempunyai lebih banyak peluang menang kerusi itu- andaian yang jadi kenyataan.
Umno dan PAS bekerjasama untuk menggerakkan sokongan kepada calon itu, yang seterusnya jadi pemula kepada kerjasama politik di PRK Semenyih, Selangor dan Rantau, Negeri Sembilan.
Kedua-dua parti Melayu Islam terbesar negara itu sudah memeterai perjanjian politik untuk menumpaskan PH pada PRU15- Piagam Muafakat Nasional.
Untuk PRK Tanjung Piai, Bersatu sudah mengesahkan bertanding bagi pihak PH, BN pula masih samar-samar dalam memberikan jawapan kerana wujud ura-ura Umno mahu bertanding di kerusi yang secara tradisi milik MCA itu.
PAS pula sudah menyatakan tidak akan bertanding dan akan menyokong calon BN.
Walaupun berlaku penurunan sokongan dan pakatan baharu antara PAS dan Umno, Wong merasakan PH mempunyai hala tuju dasar lebih jelas yang boleh meredakan kebimbangan orang bukan Melayu.
Tetapi, pada masa sama, beliau merasakan kemelut dalaman parti PH boleh menyebabkan pengundi bukan Melayu Tanjung Piai tidak keluar mengundi.

Penganalisis politik Khoo Kay Peng berkata ketidakpuasan hati orang bukan Melayu tertumpu kepada kekurangan hasrat politik kerajaan untuk melunaskan janji PRU14.
Tambahnya, kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bahawa sesetengah janji sukar dilaksana juga tidak memuaskan.
PRK Tanjung Piai akan menjadi ujian penerimaan rakyat terhadap keputusan PH beberapa minggu lepas.
“Perlindungan Dr Zakir Naik, pemaksaan pengenalan khat Jawi dan sebagainya akan teruji dalam PRK ini,” katanya.
Walaupun begitu, Pengarah Institut Asia Universiti Tasmania Prof James Chin berkata pilihan calon boleh mengubah keadaan.
“Ia akan jadi pertarungan sengit jadi semuanya berbalik kepada calon,” katanya, menambah yang Umno-PAS akan mengambil peluang menghebahkan piagam kerjasama mereka untuk rakyat ketika berkempen.
PH dijangka menamakan calonnya minggu depan.
Penamaan calon PRK Tanjung Piai ditetapkan pada 2 November, pengundian pula pada 16 November. – 18 Oktober, 2019.
Komen