PAKATAN Harapan (PH)) akan menamakan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai minggu depan, kata Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata calon akan diperkenalkan kepada pengundi sebaik saja gabungan itu memuktamadkan pilihan.
“Sebagai pengerusi PH Johor, saya akan beritahu lagi dalam masa terdekat. Kami berharap untuk mendapat calon yang sesuai dalam PRK ini,” katanya selepas merasmikan Hari Pendaftaran Negara di Putrajaya hari ini.
Kerusi Tanjung Piai kosong susulan penyandangnya, Dr Md Farid Md Rafik, 42, meninggal dunia kerana serangan jantung pada 21 September.
Farid ialah timbalan pengerusi Bersatu Tanjung Piai dan memenangi kerusi itu pada PRU14, menewaskan Wee Jeck Seng (Barisan Nasional) dan Nordin Othman (PAS).
Hari penamaan ditetapkan pada 2 November dan mengundi 16 November.
Walaupun menerima banyak kritikan, PH yakin dapat mengekalkan kerusi Parlimen itu, hasil kerjasama antara parti dalam gabungan itu.
Pengarah PRK PH Dr Sahruddin Jamal berkata kritikan adalah sebahagian daripada politik.
“Kita perlu yakin menang dalam perjuangan. Jadi kritikan adalah normal,” katanya. – 16 Oktober, 2019.
Komen