Sukar penuhi manifesto, kata Dr Mahathir


PH menjadi mangsa menifesto mereka sendiri kerana ada janji yang sukar untuk dipenuhi, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Oktober, 2019.

PAKATAN Harapan (PH) menjadi mangsa menifesto mereka sendiri kerana ada janji yang sukar untuk dipenuhi, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Beliau menegaskan pakatan itu tidak menjangkakan kemenangan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu dan mendapati sukar melaksanakan beberapa janji terutamanya yang memerlukan pindaan Perlembagaan.

“Sebenarnya, kami ingat kami akan kalah, jadi kami letak perkara-perkara yang susah (untuk direalisasikan) dalam manifesto, supaya jika kami kalah, kerajaan (lama) akan terperangkap,” kata Dr Mahathir dipetik Malaysiakini, merujuk kepada pentadbiran Barisan Nasional (BN).

“Tapi sekarang kami jadi kerajaan, kami jadi mangsa kepada manifesto kami sendiri.”

Perdana menteri dipetik berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama dalam Persidangan Lawasia Constitutional and Rule of Law di Hotel One World, Petaling Jaya hari ini.

Tambah beliau, terdapat beberapa undang-undang yang ingin PH hapuskan tetapi memerlukan sokongan dua pertiga ahli Parlimen di Dewan Rakyat. Kegagalan mendapatkan sokongan ini menyebabkan usaha ini tergendala, kata Dr Mahathir.

Perdana menteri juga berkata beliau menyedari rakyat mahukan perubahan dengan segera sedangkan ia memerlukan masa.

“Dan hari ini kami dikritik kerana tidak mengotakan janji.

“Memang mudah membuat janji ketika PRU, tapi tak mudah nak tunaikannya bila dah menang PRU,” katanya.

Dr Mahathir berkata antara akta yang mahu PH mansuhkan adalah  Akta Antiberita Tidak Benar 2018 yang diluluskan pentadbiran BN sebelum PRU14. – 4 Oktober, 2019.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen