Tuduh DAP sokong keganasan adalah dakwaan jahat, kata Anthony Loke


Jason Santos

Antony Loke berkata DAP tidak pernah menyokong keganasan dan sentiasa menghormati demokrasi, Parlimen dan proses pilihan raya, walaupun sebagai ahli pembangkang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Oktober, 2019.

DAKWAAN bahawa DAP menyokong keganasan berikutan penangkapan dua ahli politiknya kerana dituduh terbabit dengan rangkaian pengganas adalah fitnah dan berniat jahat, kata Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke.

DAP tidak pernah menyokong keganasan, katanya yang turut menambah bahawa parti itu sentiasa menghormati demokrasi, Parlimen dan proses pilihan raya, walaupun sebagai ahli pembangkang.

“DAP tidak akan memilih keganasan untuk mencapai matlamat politiknya. Penasihat DAP Lim Kit Siang ditangkap beberapa kali di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri dan kami kalah dalam sembilan daripada 10 pilihan raya, tetapi kami masih mengikuti proses demokrasi dan pilihan raya.

“Tidak sekali-kali kami lakukan keganasan untuk meyakinkan rakyat mengundi kami,” katanya semasa melawat keluarga Adun DAP yang ditahan, P Gunasekaran di Kampung Baru Rahang hari ini.

Gunasekaran dan seorang lagi pimpinan parti itu, Adun Gadek, G. Saminathan ditangkap pada hari Khamis berhubung dakwaan memiliki hubungan dengan organisasi keganasan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Mereka adalah antara tujuh orang lain yang ditangkap di bawah Akta Kesalahan Keselamatan dan Tindakan Khas (SOSMA) yang membenarkan penahanan sehingga 28 hari tanpa jaminan.

Loke, yang juga Menteri Pengangkutan, berkata beliau tidak akan menggunakan kedudukan beliau dalam kerajaan untuk campur tangan dalam siasatan polis. Beliau enggan memberi komen apabila ditanya sama ada beliau berpandangan penangkapan kedua-dua ahli politik DAP itu adalah sebahagian daripada agenda politik.

Loke, yang merupakan ketua DAP Negri Sembilan, berkata beliau mengenali Gunasekaran sebagai pemimpin akar umbi dan berkata beliau sangat disayangi penduduk kawasannya.

“Kita perlu menghormati proses itu. Kami tidak akan campur tangan dalam siasatan polis. Tetapi kami berharap hak mereka akan dihormati,” kata Loke sambil menambah bahawa beliau berharap pihak polis akan membantu Gunasekaran kerana keadaan kesihatannya.

Beliau juga menggesa polis untuk membenarkan ahli keluarga Gunasekaran melawat beliau, kerana mereka yang ditahan masih dihalang daripada menerima lawatan keluarga ketika ini.

Semalam, lima orang lagi ditangkap sebagai sebahagian daripada proses siasatan berhubung usaha menghidupkan LTTE, menjadikan jumlah keseluruhan tahanan sebanyak 12 orang. – 13 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen