Dua ahli DAP ditahan, Kit Siang mahu Sosma dihapuskan


Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang berkata Sosma perlu dihapuskan seperti yang dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Oktober, 2019.

AKTA Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) perlu dihapuskan seperti yang dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH), kata Lim Kit Siang selepas dua ahli DAP dan beberapa aktivis ditahan di bawah undang-undang.

Pemimpin DAP itu berkata PH telah berjanji untuk menghapuskan Sosma selepas ia digunakan terhadap mereka yang ingin mendedahkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sebelum ini, bekas Naib Pengerusi Umno Batu Kawan Khairuddin Abu Hassan diletakkan di bawah tahanan selama 28 hari di bawah Sosma atas percubaannya mendedahkan skandal 1MDB empat tahun lalu.

“Tahun lepas terdapat perubahan kuasa dan kami dijanjikan kerajaan yang telus, jadi polis juga mesti ada perubahan sikap agar ia selaras dengan kerajaan hari ini.

“Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan telus, kami mahu polis juga mengubah sikap mereka. Sebelum Sosma digunakan kami berjanji untuk menghapuskan undang-undang ini,” katanya kepada pemberita selepas melawat ahli keluarga wakil rakyat Seremban Jaya P Gunasekaran pagi tadi.

Beliau ditemani setiausaha penganjur kebangsaan dan Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Seorang lagi anggota DAP yang ditahan adalah Adun Gadek G Saminathan.

Pada Khamis, tujuh individu termasuk seorang anggota Exco DAP Melaka dan seorang lagi wakil rakyat parti itu di Negeri Sembilan ditahan kerana disyaki mempromosi, menyokong serta menyalur dana kepada LTTE, selain menyimpan bahan-bahan berkaitan organisasi itu.

Kesemua mereka ditahan di Selangor, Perak, Kedah, Negeri Sembilan, Melaka dan Kuala Lumpur.

Mereka ditangkap mengikut Sosma yang memberi kuasa kepada polis untuk menahan selama 28 hari.

Sumber polis turut memberitahu The Malaysian Insight, lima lagi suspek ditahan di Pulau Pinang, Melaka dan Selangor pada Sabtu.

Lim hari ini berkata jika polis percaya Gunasekaran terlibat dalam aktiviti keganasan, mereka harus segera mengambil tindakan terhadapnya.

“Kalau jika, polis perlu mengenakan tindakan terhadap mereka dengan segera. Ini membolehkan Guna mempertahankan dirinya,” katanya.

Lim berkata peguam parti RSN Rayer dan Ramkarpal Singh telah bertemu dengan Guna tetapi keluarganya masih belum berpeluang untuk berjumpa. – 13 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen