4 lebuh raya diambil alih akan diswastakan, kata Dr Mahathir


Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada sidang akhbar selepas pembentangan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat petang tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 11 Oktober, 2019.

EMPAT lebuh raya di Lembah Klang yang akan diambil alih oleh kerajaan akan diswastakan namun butiran dan mekanisme pengambilalihannya belum ada, kata Dr Mahathir Mohamad.

“Empat lebuh raya, kita perlu lihat butirannya. Tetapi empat lebuh raya akan diswastakan,” kata Perdana Menteri pada sidang media di lobi Parlimen, selepas pembentangan Belanjawan 2020.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng semasa membentangkan Belanjawan 2020 mengumumkan Jemaah Menteri meluluskan cadangan untuk mengambil alih empat lebuh raya di Lembah Klang, yang dikaitkan dengan Gamuda Berhad, dengan kos keseluruhan RM6.2 bilion

Cadangan pengambilalihan empat lebuh raya yang dikaitkan dengan dikemukakan oleh Kementerian Kewangan kepada Kabinet pada Jun lalu, selepas pertama kali diumumkan oleh Pejabat Perdana Menteri pada Februari sebelumnya.

Tujuannya untuk mengurangkan kadar tol kepada pengguna melalui pelaksanaan caj kesesakan pada waktu puncak, diskaun 30% pada waktu biasa dan percuma semasa luar waktu puncak.

Empat lebuh raya bertol itu ialah Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Lebuhraya Shah Alam (Kesas), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint), dan Terowong SMART.

Mengenai cadangan berhubung Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS), Dr Mahathir berkata butiran mengenainya juga sedang dalam penelitian.

“Itu akan dilaksanakan kemudian. Kita sudah mengenal pasti kawasan terbabit yang melibatkan bandar dan luar bandar, tetapi butiran akan dilakukan kemudian,” katanya.

Tiga syarikat kini sedang bersaing dengan pelan masing-masing yang sudah dikemukakan kepada kerajaan untuk mengambil alih lebuh raya milik PLUS. Antaranya syarikat itu ialah Maju Holdings, Widad Business Group dan firma pelaburan di Hong Kong milik rakyat Malaysia, RRJ Capital Ltd.

Dr Mahathir juga berkata kerajaan belum menentukan apakah kadar tol lebih rendah yang disebut oleh Lim dalam ucapannya akan berkuat kuasa serta merta pada 1 Januari 2020 atau selepas pengambilalihan PLUS.

Namun beliau menegaskan kadar tolnya nanti akan lebih rendah iaitu sekurang-kurangnya 18% secara purata.

“Ini belum dapat dipastikan lagi, namun kita telah menyatakan bahawa diskaun itu sekurang-kurangnya 18% lebih rendah,” katanya.

Dalam ucapannya, Lim mengumumkan diskaun 18% secara purata di semua lebuh raya milik PLUS selaras dengan Manifesto Pakatan Harapan.

Ia juga akan memberi penjimatan sehingga RM1,130 juta kepada pengguna lebuh raya pada tahun depan, serta RM43 bilion sehingga konsesi berakhir pada 2038, kata Lim.

Sementara itu, Bernama melaporkan pada sidang media kemudiannya, Lim berkata cadangan pelupusan kepentingan tol tidak akan menambah bebanan negara atau dari segi caj perkhidmatan hutang.

“Ini bermakna, kutipan daripada tol itu sahaja sudah memadai untuk membayar hutang yang ada. Itulah syaratnya,” tegasnya. – 11 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen